Darjah 1 ‘tumpang’ : Satu kenangan

“Yana duduk sini, nanti ayah datang.”
Saya menurut sahaja arahan ayah sambil memandang kosong ke hadapan. Sebelum itu, saya memerhatikan ayah pergi meninggalkan tempat duduk saya. 1 Melati. Itulah kelas pertama yang saya masuk pada hari pertama bersekolah “tumpang”.

Tika itu usia saya baru enam tahun. Disebabkan tidak ke tadika, ayah membawa saya ke sekolahnya bagi memberi pendedahan awal. “Darjah 1 tumpang.” Itulah istilahnya.

Kelas 1 Melati ini berada sederet dengan dua kelas lagi iaitu 1 Mawar dan 1 Melur. Di luar, ada pagar dawai tinggi untuk keselamatan. Maklumlah ada sebatang Sungai Merlimau betul-betul berada di sebelah pagar sekolah.

Di hadapan kelas, Cikgu Hamidah yang lemah-lembut sedang mengalu-alukan kehadiran murid pada hari itu. Beliau mengajar bahasa Melayu. Dan saya tanpa banyak soal mengikuti sahaja kelas tanpa bertanya sepatah pun.

Meja dalam kelas disusun bentuk U dan berkumpulan. Bahagian tengah hadapan dikosongkan dan semua murid akan duduk di lantai sebaik sahaja selesai berdiri memberi salam kepada guru. Ada tikar yang disediakan. Kami akan membuka dan menyusun kasut sebelum duduk belajar di situ.

Waktu inilah, guru akan mengajar terlebih dahulu intipati pembelajaran sebelum kami kembali ke meja masing-masing untuk membuat latihan. Seronok duduk belajar di situ. Saya perhatikan kawan-kawan sekelas sangat gembira belajar.

Tapi, nama sahaja anak cikgu, saya punya tahap pemalu dan introvert tak boleh kata apa. Maklumlah selama enam tahun ini saya tidak pernah keluar rumah bermain. Kawan pun tiada. Dunia saya hanya di rumah, bermain dengan adik-adik serta membaca buku.

Kami tinggal bersama nenek dan datuk sementara mak ayah keluar bekerja. Lagi pula asma yang dihidapi agak teruk dan ini memaksa saya supaya sentiasa berada di dalam rumah bagi mengelak serangan.

Saya pun tidak ingat berapa lama saya bersekolah di situ. Yang pasti sekejap sahaja dek kerana “kemimih”nya saya. Istilah ini bermaksud suka menangis.

Saya juga tidak lama berada dalam kelas 1 Melati. Kemudiannya ayah meletakkan saya di perpustakaan sekolah semasa sesi persekolahan berlangsung. Takut dalam seronok! Takut kerana saya seorang sahaja duduk di situ tetapi seronok kerana banyak sangat bahan bacaan baharu untuk dibaca.

Walaupun sudah banyak buku yang dibaca tetapi saya tidak pernah memasuki pertandingan pembaca terbanyak sepanjang bersekolah rendah dek terpengaruhnya dengan kata-kata kawan yang menyatakan susahnya bila terpilih masuk pertandingan.

Calon perlu membaca di hadapan perhimpunan, membuat tugasan dan sebagainya. Dasar introvert, mendengarnya sahaja sudah kecut perut! Sudahnya menyesal bila melihat seorang demi seorang kawan lain naik pentas menerima anugerah (dan hadiah yang banyak). Haha.

Itulah kenangan. Jadi pengalaman hidup.

 

Aina Dayana Hilmi,

Teringat cikgu-cikgu lama.

Leave a Reply