15 Aktiviti Cuti Sekolah

Tempoh hari cuti sekolah yang bakal tiba disambut gembira oleh saya. Aha, bukan anak sahaja yang happy 😉 Sebabnya bila cuti sekolah ada ramai anak buah akan balik ke kampung berkumpul maka macam-macam aktiviti boleh kami buat. Kali ini ada kem cuti sekolah yang dianjurkan di masjid kampung pada minggu pertama cuti. Bertambah meriah jadinya.

Hari ini sudah memasuki minggu kedua cuti sekolah. Alhamdulillah jadual yang kami sepakati sudah mula difahami oleh anak-anak ini. Sebenarnya tidaklah seratus peratus rutin itu diikuti (setiap hari pasti ada sahaja kejadian yang membuatkan ummi ni bertukar rupa 😒) tetapi makin lama makin baik 😊

Sesungguhnya amatlah penat kerana terlibat secara langsung dengan aktiviti mereka. 7 kanak-kanak cergas dan seorang bayi yang aktif. Haha. Mujur emak ayah saya ada dan masih sihat. Sesekali sahaja saya dapat bergegas sekejap memasak di dapur untuk makan tengahari. Selebihnya alhamdulillah sarapan dan minum petang menjadi tugas tetap saya. (Terima kasih nek ummi yang penyayang dan tokmi yang penyabar).

Aktiviti kami jika nak disenaraikan terlalu panjang. Tapi saya nak catat juga sebahagiannya di sini.

 

Mengajar Anak Berwuduk dengan betul

Selalunya kita suruh anak solat sahaja tapi kita tak perhatikan bagainana anak mengambil wuduk. Cukupkah dengan sekali ajar sahaja? Cukupkah melepaskan tanggungjawab belajar wuduk di sekolah.

Apabila mendengar ketua fasilitator program #BackToMasjid yang menekankan kepentingan mengambil wuduk dengan betul, saya tersentak dengan ingatan beliau : Wuduk ini perkara asas yang utama. Jika sempurna wuduk, sempurnalah solat insyaAllah. Tetapi jika anak sambil lewa sahaja ambil wuduk, kita wajib ambil peranan mendidik dengan betul. Barulah solatnya sah dan diterima insya Allah.

Mencabar nak melihat seorang demi seorang anak mengambil wuduk di rumah. Hihi. Moga-moga anak-anak ini dapat belajar dan menjadi disiplin diri berwuduk dengan betul.

 

Mengaji al-Quran

Masjid kampung kami mengadakan kelas mengaji khas sempena cuti sekolah. Setiap Isnin hingga Khamis, anak-anak hadir ke masjid untuk Kelas Kaffah (kelas al-Quran, fardu ain dan fardu kifayah) yang bermula jam 8.30 – 10.30 pagi dan dibimbing oleh 4 orang asatizah.

Ada juga Kelas Taqwa (kelas hafazan) pada waktu yang sama dibimbing oleh seorang ustazah.

Kemudian, anak-anak saya akan ke kelas mengaji di bangunan Darul Sunnah berhampiran rumah kami pada sebelah petang. Waktu cuti sekolah ini kelas bermula 5.30 petang hingga 6.30 petang setiap hari Isnin hingga Jumaat dan dibimbing oleh 3 orang tenaga pengajar.

Selepas maghrib adalah waktu wajib anak-anak meneras (Membaca 10 ayat pertama surah Al-Kahfi dan disambung dengan bacaan Surah Ad-Dhuha sehingga An-Nas. Kemudian ditutupi dengan Surah Al-Fatihah, 5 ayat pertama Surah Al-Baqarah dan doa khatam al-Quran).

Bacaan zikir pagi petang

Kami menggunakan susunan zikir pagi petang oleh Dr Abdul Basit Abdul Rahman. Buku ini diterbitlan oleh Telaga Biru. Bagi yang ada Hisnul Muslim boleh juga gunakannya. Di sini pihak Telaga Biru ada menerbitkan Hisnul Muslim terjemahan dengan tajuk Perisai Muslim.

 

Permainan Bahasa

1) Menyenaraikan perkataan yang bermula dengan huruf yang dipilih.

Misalnya huruf ‘s’. Jadi secara berkumpulan, anak-anak ini menyenaraikan seberapa banyak yang mereka dapat dalam masa yang ditetapkan. Memang kelakar juga waktu ini. Masing-masing tidak mahu kalah. Pelbagai cara dibuat bagi memastikan perkataan yang dipilih itu tidak ditiru pihak lawan.

 

2) Permainan Nama – Negeri

Saya tidak tahu nama sebenar permainan ini. Tapi selalu sahaja saya main sejak darjah 2. Cara bermainnya :

❤ Membahagikan 6 bahagian pada kertas.
❤ Bahagian tersebut ditulis melintang iaitu Nama, Negeri, Buah, Benda, Haiwan dan ruangan markah.
❤ Perkataan yang dipilih mendapat 20 markah setiap satu jika tidak sama dengan pemain lain.
❤ Perkataan yang sama dengan pemain lain hanya diberi 10 markah.
❤ Ada ketikanya kami beri peluang merujuk kamus / atlas. Terutamanya apabila mencari nama negeri dan haiwan.

Cuma, bagi anak-anak permainan ini agak susah tetapi menarik. Haha. Kata saya, ini baru permainan mencabar minda. Bukan permainan dalam telefon sahaja mencabar 😂

 

3) Permainan mencari perkataan (word search)

Saya tunjuk cara sekali sahaja bagaimana membuat permainan ini sendiri. Tak perlu beli buku di kedai. Bersungguh mereka buat cabaran sesama sendiri. Wah wah wah. Sibuk benar nampaknya.

 

Permainan sarang labah-labah

Pernainan ini seronok dimainkan secara berkumpulan melebihi 5 orang. Tangan perlu disilangkan dan memegang tangan kawan lain secara rawak. Tidak boleh memegang tangan dengan orang sebelah.

Kemudian mereka dikehendaki membuat satu bulatan besar tanpa memutuskan pegangan tangan tadi. Ahaa..

 

Telefon rosak

Idea spontan sebenarnya ini. Demi mengelakkan mereka kebosanan dan mahu menonton televisyen. Macam-macam idea mereka buat. Memang tak kering gusi dibuatnya.

 

Origami

Ini kalau tidak dikawal, 1 rim kertas pun boleh habis! 😂 Saya hanya hadkan hari membuat origami kepada 3 hari seminggu. Jujur, tak larat mahu mengendalikan sesi ini. Ia memakan masa yang lama tetapi puas hati kerana anak-anak sangat fokus dan menunjukkan minat yang tinggi.

Hampir tiada adegan berebut, menjerit mahupun bergaduh. Semua bekerjasama membantu antara satu sama lain. Ini sudah bagus! 👍

Saya banyak merujuk video kraf di Facebook atau laman web Karakotak.com

 

Melukis

Ini sangat menarik. Anak-anak saya dan sepupu-sepupu mendapat tunjuk ajar langsung dari Atok Mi dalam melukis pemandanga. Niche atok memang pokok dan air terjun jadi mereka dapat tahu teknik yang betul untuk melukis dan mewarna.

Alhamdulillah nampak ada yang berminat untuk mengikut jejak langkah atok. Manalah tahu kan, minat ini berkembang dan boleh ke hadapan suatu hari nanti 😊

Kauthar Annur berlatih sendiri

 

Membuat Doodle

Anak-anak buat tema sendiri. Adakala membuat doodle motif bulatan, adakalanya membuat motif empat segi dan sebagainya. Aktiviti seperti ini dapat melatih kecekapan dan daya fokus anak-anak.

 

Membuat kad ucapan

Saya menunjuk cara dua jenis sahaja seperti pop-up card dan teknik lipatan. Sempatlah mereka buat kad ucapan untuk abi / Pak Long mereka sebelum Pak Long bertolak menunaikan umrah awal Disember lalu.

 

Berbasikal

Ini memang tidak dinafikan permainan paling digemari. Masalahnya nek ummi dan nek nyang asyiklah risau sebab merek bermain atas jalan raya. Rumah mak saya ini memang dipinggir jalan dan berada di simpang tiga. Wajiblah kami berasa takut dan berjaga-jaga. Tapi sudah namanya budak-budak. Berani sangat 😅 Haih.

 

Belajar tajwid

Mengambil kira komen Ustaz Firdaus, guru di MRSM Ulul Albab yang memaklumkan anak-anak ini lemah dalam penguasan tajwid, maka saya usahakan mengajar sendiri di rumah di samping mereka belajar dengan ustazah di masjid.

Semoga bacaan al-Quran semakin baik dan lancar dengan tajwid yang betul.

 

Permainan dot to dot

Tak tahu namanya apa sebenarnya 😂 Saya ambil idea dari seorang rakan Facebook. Permainan ini memerlukan kertas warna yang dipotong dan di susun di atas lantai. Jika ada petak di lantai lebih menbantu permainan ini.

Susunan warna pada lantai dan di kertas mesti sama. Letakkan garis mula hingga penamat pada kertas dan anak akan lompat mengikut arahan yang tergaris pada kertas. Mereka kecil-kecil sahaja badan. Nampak ringan sahaja melompat.

Saya yang besar ini juga yang mengah 😛

 

Melatih anak membuat kerja rumah

Ini memamg core utama untuk cuti sekolah ini. Melatih anak yang lebih besar bertanggungjawab terhadap urusan rumah dan adik-adik.

Tugasan seperti urus diri sebelum pergi solat subuh di masjid, mengemas tempat tidur, menyidai baju, melipat baju, memastikan tempat makan bersih selepas makan,menyapu rumah, mengelap tingkap, membasuh pinggan mangkuk.

 

Bermain batu seremban

Nek Ummi mulakan operasi menjahit

Anak sudah lama meminta saya membuatkan batu seremban untuknya. Ia bermula selepas dia sudah habis belajar sukatan mata pelajaran di sekolah. Bermula akhir bulan Oktober itu, kawan-kawannya membawa banyak mainan ke sekolah. Batu seremban adalah salah satu daripadanya.

Alhamdulillah nek ummi sudi buatkan dua set batu seremban untuk cucu-cucu menggunakan kacang hijau. Maka bermulalah era bermain batu seremban siang dan malam setiap hari. Hihi.

Sampai ada yang sudah mahir bermain! Rasanya terinspirasi dengan cerita nek ummi yang suatu masa dahulu juara bermain batu seremban di kejiranan berek polis Singapura 😉 Dan nek ummi jugalah yang menunjuk cara bermain batu seremban dari awal hingga peringkat terakhir.

Wah, saya pun teruja!

 

Mencipta permainan sendiri

Disebabkan banyak idea, mereka mencipta permainan sendiri yang saya pun tidak tahu cara bermainnya. Yang saya nampak kertas-kertas sahaja banyak bertaburan di ruang tamu keluarga 😂 Yang penting mereka kemas semula hingga bersih.

Begitulah. Kita dahulu pun pernah melalui zaman kanak-kanak yang ceria dan berwarna-warni. Tinggal 2 minggu sahaja lagi bersama mereka sebelum mereka pulang ke rumah masing-masing. Semoga menjadi kenangan manis buat mereka dalam meniti usia.

 

Aina Dayana Hilmi,

Suka cuti sekolah.

Leave a Reply