Keguguran yang pertama
“Puan, kita nak masukkan induce ya pukul 9 nanti,” jururawat datang ke katil sambil membawa peralatan. Aku hanya mengganggukkan kepala. Aku memandang sekeliling. Bilik kelas 2 ini menempatkan empat katil dan 2 daripadanya mempunyai masalah yang sama denganku manakala seorang lagi menghadapi masalah kurang potassium dalam badan. Hmm, macam-macam juga masalah ibu mengandung ini ya?
Pukul 9.30 pagi, perutku mula memulas-mulas. “Eh, kenapa ini?” Aku mula rasa cemas. Tangan menggenggam kuat besi katil sehingga menggigil seluruh badan. Sakit yang tidak tergambar. Rasa mahu sahaja kutanggalkan tudung dan baju yang dipakai. Badan dihempas ke kiri dan kanan tetapi tidak juga berkurang. Ya Allah, beginikah rasanya mahu mengeluarkan bayi?
‘Plop’. Terdengar bunyi diiringi cecair panas dari bawah. Perlahan-lahan sakit itu hilang dan tenaga aku semakin menyusut. Lama kemudian ada jururawat menjengah. “Oh, puan. Dah keluar ya.” Aku hanya diam lesu. Ada sesuatu yang diambil dari tilam dan dimasukkan ke dalam bekas. Sempat aku lihat janin itu sebelum dimasukkan ke dalam botol spesimen.
“Boleh saya tengok?” Pintaku. Jururawat nampak sangsi tapi cepat sahaja kukatakan, “Insya-Allah saya ok je misi.” Lalu, pada tapak tangannya terlihat janin berwarna merah pekat yang baru nampak bentuk tetapi tiada lagi rupa. Hanya sebesar tapak tangan dan seolah-olah seperti insang ikan. Begitulah.
Pengalaman keguguran yang tak mahu dirasai lagi!