Panduan mensteril keperluan penyusuan
Bila bergelar ibu, saya macam masuk dunia lain. Dunia baru. Terasa kerdilnya diri sebagai hamba sebab terlalu luas ilmu Allah yang perlu diteroka. Setuju tak?
Salah satu perkara yang saya belajar ialah bab penjagaan peralatan penyusuan. Bukan sahaja kena cuci bersih tapi seharusnya disteril bagi menjamin bakteria tidak merebak dan memudaratkan anak.

(Boleh juga baca mengenai Cara Berkesan Hilangkan Kerak Susu)
Awal-awal dulu, masih guna kaedah merebus tetapi kemudiannya saya beli alat warmer and sterilize jenama Little Bean untuk steril. Memudahkan saya sebab menjimatkan masa. Pasang soket elektrik dalam 8 ke 12 minit, siap. Selain dua kaedah ini, rupanya ketuhar gelombang mikro pun boleh diguna untuk steril peralatan menyusu.

Dalam Majalah PaMa keluaran Ogos 2018 ada berkongsi info mensteril botol anak :
1. Tangan perlu bersih semasa membuat proses pensterilan.
2. Sebaiknya cuci botol sejurus selepas anak menyusu. Jangan tangguh sehingga susu rosak di dalam botol sehingga baunya sukar dibuang.
3. Menggunakan berus botol khas untuk menanggalkan sisa yang tertinggal di dalam botol.
4. Sediakan berus khas untuk mencuci puting botol susu.
5. Pastikan peralatan dibilas dengan air sehingga bersih.
6. Pastikan air mendidih semasa memasukkan peralatan yang ingin disteril.
7️⃣ Selepas disteril, pastikan ia tidak dipegang dengan tangan kotor. Boleh pegang selepas ia kering bagi mengelak kontaminasi semula.
8️⃣ Berus yang digunakan perlu bersih. Ia juga perlu direndam dengan larutan cuka dan air suam dengan nisbah 1 : 5 setelah dicuci bagi mengelak pertumbuhan bakteria.
Ini saya kongsikan cara-cara mensteril peralatan menyusu dan botol susu :
🍼 Ceraikan bahagian botol susu dan bilas sisa susu yang mungkin ada.
🍼 Tuangkan sabun dalam kuantiti yang sesuai.
🍼 Rendamkan peralatan menggunakan larutan air suam dan sabun.
🍼 Cuci bahagian dalam dan luar botol, penutup dan cincin botol sehingga bersih. Bilas bersih.
🍼 Diikuti bahagian puting. Bersihkan dengan teliti menggunakan berus kecil.
🍼Pastikan anda menggosok puting begini.
🍼Kemudian masukkan air ke dalam puting dan pancutkan bagi memastikan ia tidak tersumbat.
🍼 Bilas botol dengan bersih dan keringkan sementara penyediaan proses pensterilan.
🍼 Didihkan air di dalam periuk yang bersih.
🍼 Apabila air mendidih, masukkan bahagian-bahagian botol yang telah dibilas bersih. Buatkan selama lima minit.
🍼 Angkat botol menggunakan penyepit yang bersih. Sebelum itu pastikan anda mencuci tangan anda sebelum melakukan langkah ini.
🍼 Angkat dan keringkan pada rak pengering. Pastikan is benar-benar kering sebelum digunakan atau disimpan dalam bekas bersih.
Peralatan perlu disteril semula selepas 24 jam tidak digunakan.
Sumber gambar : Majalah PaMa Keluaran Ogos 2018