Ada Apa Dengan Nama?

“T**k, t**k,”

Saya terdengar perbualan anak-anak remaja tak jauh daripada saya. Eh, apa yang mereka cakap ni?  Saya perhatikan mereka berbual-bual sahaja sesama mereka. Tak ada pula nampak najis atau benda kotor berdekatan. Namun saya diamkan sahaja dan terus ke kaunter membuat bayaran roti yang dibeli.

bread.jpg

Masuk ke kereta, kami meneruskan perjalanan. Saya teringat mahu tanya suami. Mana tahu dia kenal anak-anak tadi. Terpempam juga tatkala diberitahu itu nama panggilan kawan mereka. Eh, dia tak marahkah dipanggil begitu? Bukankah itu benda kotor? Apa nama sebenarnya? Suami hanya menggelengkan kepala tanda tidak tahu.

Tidak puas hati, saya tetap mahu mencari nama sebenar budak lelaki itu dan mengapa dia “redha” sahaja dipanggil dengan nama gelaran yang menggelikan. Suatu hari saya ternampak dia menghantar adiknya ke kelas mengaji kami. Oh, baru saya tahu ini adik-adiknya.

“Nama abang saya Hazreek, ustazah.”

Subhanallah. Cantiknya nama tapi kenapa nama panggilan begitu? Adiknya mengangkat bahu. Aduhai..

Anak-anak, nama yang ibu ayah beri ini umpama doa dan menjadi simbol harapan ibu ayah terhadap anak mereka. Pernah saya bertanya kepada anak-anak kelas mengaji, siapa nama penuh kamu? Tahukah maknanya? Kebanyakannya masih belum tahu maksud nama mereka. Jadi, balik ke rumah nanti tanyakan kepada ibu ayah dan mengapa mereka beri nama tersebut.

Kelas seterusnya mereka memberi maklum balas. Ada yang menjawab nama mereka tiada maksud kerana ia merupakan gabungan nama ibu dan ayah.

Ibu ayah sekalian, memberi nama anak bukan sekadar sedap disebut tetapi yang lebih besar daripada itu memberi makna yang baik seterusnya memberi kesan kepada peribadi anak insya Allah. Di dalam Islam ada beberapa panduan menamakan anak.

Antaranya Allah dan rasul menyukai nama Abdullah dan Abdurrahman. Ini berdasarkan hadis Ibnu Umar radiallahu anhu, ia berkata Rasulullah sollallahu alaihi wasallam bersabda :

“Sesungguhnya nama kalian yang paling dicintai oleh Allah adalah Abdullah dan Abdurrahman.” (Hadis riwayat Muslim).

Boleh juga menamakan anak-anak dengan nama nabi, para sahabat dan orang alim.

 

Perkataan yang baik adalah sedekah.

smile.jpg

الْكَلِمَةُ الطَّيِّبَةُ صَدَقَةٌ

Al kalimatut thayyibatu shadaqah

Ertinya: Perkataan yang baik adalah sedekah. (Hadis Riwayat Bukhari).

Lagi hadis Nabi berkenaan perbuatan mencela orang :

بِحَسْبِ امْرِئٍ مِنَ الشَّرِّ أَنْ يَحْقِرَ أَخَاهُ الْمُسْلِمَ

“Cukuplah seseorang berbuat keburukan jika dia merendahkan saudaranya sesama muslim.” (HR. Muslim).

Nah, cukuplah dua hadis ini sebagai peringatan buat kita supaya memanggil orang lain dengan nama yang baik. Satu peringatan buat diri saya sendiri. Semoga Allah memelihara lisan kita daripada bercakap yang tidak baik.

Leave a Reply

Open chat