Adik, jom balik.

Kelas mengaji anak-anak semakin bertambah bilangannya. Kekangan tenaga pengajar menyebabkan masa menunggu giliran mengaji lebih panjang. Apakan daya, perlu semak bacaan seorang demi seorang. Tak dapat nak meneliti jika 2-3 orang baca serentak.

Hari itu, bilangan murid yang datang agak luar biasa. Namun Allah mudahkan kelas dapat berakhir sebelum isyak. Semasa sedang ajar mengaji, kedengaran tangisan seorang murid kecil kami. Saya mengerling jam dinding yang menghampiri 8.20 malam. Si kecil Naurah sedang dipujuk oleh Pak Busunya untuk balik tapi dia tak mahu berganjak.

Selesai ajar mengaji, saya pun panggil anak ini. Mengapa tak mahu balik? “Adik, ikut busu balik,” saya memujuk. Air matanya masih mengalir. Saya menukar soalan. “Adik nak mengaji?” Dia angguk. Oh, dia belum mengaji rupanya. Allah ya Allah, macam manalah cikgu boleh terlepas pandang si comel ini. Selepas mengaji, barulah tidak menangis lagi dan balik bersama busunya.

Lega hati cikgu. Selesai satu kes. Duhai anak, cikgu kagum dengan semangat kamu! Kini, Naurah akan memasuki tahun 1 tidak lama lagi. Semoga beroleh kejayaan dunia dan akhirat. Amiin.

 

Aina Dayana Hilmi,

6 Februari 2022.

Leave a Reply

Open chat