Aktiviti bertema hijaiyah

Saban tahun, batch demi batch yang diterima, pasti ada anak kecil seawal usia 3 atau 4 tahun. Comel sahaja. Ada yang datang melihat-lihat. Tengok kakak abang mengaji, solat, baca zikir. Ambil suasana sahaja agaknya dahulu.

Pernah juga beberapa kali ketika orang solat dan mengaji, mereka bergembira di sudut belakang. Haha. Jadi kami ambil inisiatif untuk beri anak-anak kecil ini aktiviti sambil kakak abang solat dan baca zikir.

Saya tak jemu menggunakan Kad Imbas Khadijah (KIK). Sesuai sangat dibuat aktiviti bersama anak-anak kecil ini. Yang mana baru masuk Iqra’ 1 juga membantu. KIK ada 1 set kad dengan dua bahagian. Di hadapan terdapat huruf hijaiyah tunggal berserta gambar visual yang seakan-akan bentuk huruf tersebut dan bahagian belakang ada huruf berbaris fathah, kasrah, dommah.

Kertas warna, kertas A4 warna putih, gam, gunting dan pensel warna antara alatan yang wajib ada ketika saya ke kelas. Inilah penyelamat dan bahan bantu belajar yang berguna ketika waktu kecemasan. Saya katakan waktu kecemasan sebab ada anak yang tantrum, menangis dan sebagainya ketika kelas berlangsung. Maklumlah dahulu sebelum PKP kelas mengaji kami bermula 6.00 petang hingga 8.15 malam.

Hujung tahun lepas, apabila kebenaran mengadakan kelas bersemuka dibuat, kami menerima dua orang murid yang baru nak mengenal huruf hijaiyah. Jadi, saya kumpulkan mereka berdua bersama anak keempat saya, abang uda untuk sama-sama belajar sebelum mengaji. Masa 5 minit sahaja diperuntukkan sebagai set induksi (pengenalan).

Kami hanya sempat kelas beberapa kali sahaja. Saya kongsikan aktiviti yang telah dijalankan (tapi gambarnya tiada. Saya perlu cari di mana saya letakkan gambar digital tersebut).

 

Aktiviti bertema mengenal huruf hijaiyah tunggal

Huruf ا

✏️ Surih huruf alif

✏️ Surih gambar arnab

✏️ Kolaj huruf ا

✏️ Menampal jigsaw puzzle

 

Huruf ب

✏️ Cari huruf ب tersembunyi di dalam gambar

✏️ Warnakan ب

✏️ Origami baju

 

Huruf ت

✏️ Cantum jigsaw puzzle. Gunakan batang aiskrim yang telah ditampal huruf ت

✏️ Ikat tali pada kotak

✏️ Cap jari pada Kolaj huruf ت

 

Huruf ث

✏️ Surih huruf ث

✏️ Mencari jalan pulang (maze)

✏️ Bulatkan huruf ث

 

Huruf ج

✏️ Lakar tapak tangan sendiri

✏️ Warnakan

✏️ Surih huruf ج

 

Huruf ح

✏️ Lihat gambar orang kepedasan

✏️ Warnakan ح mengikut kod

✏️ Tampal sticker pada huruf ح

 

Begitulah antara aktivitinya. Melihat mereka gembira belajar saya berdoa agar mereka mengenal huruf seterusnya mencintai al-Quran sehingga akhir hayat. Teringat kata-kata Dr Umar Muhammad Noor :

“Mengajar kanak-kanak bukan perkara kecil di sisi Allah. Malah sesuatu yang mungkj menjadi asbab pengampunan dosa kita.

Abu Mansur al-Khayyat seorang pakar Quran dan Qiraat. Selepas beliau meninggal dunia, seseorang bermimpi berjumpa dengannya. Orang itu berkata :

Apa khabarmu wahai Abu Mansur? Beliau menjawab : Allah mengampuni semua dosaku oleh kerana aku mengajarkan al-Fatihah kepada kanak-kanak.” (Siyar A’lam Al Nubala)

 

* Gambar tahun 2018

Aina Dayana Hilmi,

8 Februari 2022

Leave a Reply

Open chat