Aku dan makanan
Makanan tempatan
Semasa kecil, ada waktu-waktu tertentu kami dapat merasa makanan yang istimewa. Biasanya pada bulan puasa, hari raya atau kenduri. Tapi sesekali emak memasak luar dari kebiasaan, kami jadi sangat seronok dan tak sabar menanti. Mak pernah buat pizza, nasi tomato, nasi ayam, rendang dan ketupat. Berbanding hari biasa, makan nasi putih dan lauk-pauk.
Jika keluarga long pulang ke kampung, berganda kegembiraan itu. Long rajin buat kuih dan memasak. Popia sayur yang dimakan dengan sos cili buatan sendiri, roti jala, air kacang soya yang diperah sendiri, nasi tomato lengkap dengan kuah dalca dan acar timun atau samosa daging atau ayam. Sekadar menyebut beberapa menu.
Aku akan duduk memerhati di sebelah ketika orang dewasa memasak. Melihat langkah demi langkah, perancangan dan susun atur persediaan sebelum memasak walaupun aku tidak dapat mengingat sebahagian besar prosesnya. Tapi dalam hati pernah berkata, susahnya jadi orang dapur. Sebab itu bila makan, kuusahakan habis. Dan cuba teka, memang akulah paling tembam dalam adik-beradik. Haha.