Anak Bersedia Mengaji

Setiap kali anak lahir, terus-menerus tugas dan tanggungjawab ibu ayah memperkenalkan al-Quran kepada anak-anak. Selain penekanan kepada akidah, pendedahan al-Quran sama pentingnya dalam mendidik anak-anak. Begitu juga tatkala menerima si kecil dalam kelas mengaji kami (Kelas Mengaji Baitul Fatimah), saya tersenyum melihat gelagat mereka.

Seronok mengajar anak kecil mengaji. Kita pun sama enjoy menikmati momen itu. Comel sahaja gelagat mereka di samping perlu memahami karakter anak sebelum mula mengajar mereka. Menurut pengalaman kami, ada beberapa perkara yang boleh dibuat sebagai persediaan sebelum ajar anak mengaji :

Ibu ayah perlu niat kerana Allah

Ini kerana niat ini dikira ibadah dan memandu ibu ayah ingat akan matlamat asal mengajar anak mengaji al-Quran. Niat boleh berubah-ubah dan baginda sollallahu alaihi wasallam turut berdoa agar ditetapkan hati sebagaimana doanya :

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِى عَلَى دِينِكَ

“Ya muqollibal quluub tsabbit qolbi ‘alaa diinik (Wahai zat yang Maha Membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku di atas agama-Mu).”

 

Emosi stabil

Emosi ibu yang tenang turut mempengaruhi corak emosi anak untuk belajar.

 

Persekitaran yang kondusif.

Sediakan kelengkapan mengaji yang khas untuk anak. Beri peluang anak memilih sendiri warna rehal kegemaran, sejadah yang disukai, telekung dan kopiah yang diminati dan bertanya keselesaannya semasa duduk mengaji.

 

Cukup makan minum

Amboi.. muka puas hati kan? 😂

Memastikan anak telah makan dan minum sebelum sesi pembelajaran. Ini mengelakkan anak kerap bangun ke dapur untuk minum dan makan. Sudah pasti ia mengganggu proses pembelajaran.

Dalam hal ini, penting menjaga pemakanan anak. Jauhi jajan, makanan segera, minuman berkarbonat, makanan manis dan menjauhi makanan syubhah. Makanan yang halal tak semestinya toyyibah. Belajar membaca kandungan label makanan sebelum membeli.

 

Beri ganjaran

Ganjaran terbahagi kepada dua. Satu dengan material dan kedua tanpa material. Anak-anak yang dibesarkan dengan ganjaran material tidak akan bertahan lama. sebahagiannya akan merosakkan mereka. Namun tidak salah sekiranya diberikan sesekali. Ini bagi menaikkan semangat mereka untuk terus belajar.

“Bila abang berjaya kuasai bacaan tajwid mad ini, kita pergi main basikal di taman permainan.”

Ganjaran tanpa material boleh terdiri daripada pujian, tepuk tangan, beri high five atau menunjukkan tanda bagus. Masya Allah, hati mereka bersih dan suci. Semua ini sudah cukup memberi mereka impak yang positif.

“Kakak dah lancar baca huruf fathahlah, masya Allah! Anak solehah ni.”

“Adik dah berjaya khatam Iqra’ 1, tepuk tangan untuk adik!!.”

Elakkan penggunaan rotan jika anak tidak pandai mengaji. Menurut Dr Nik Salida Suhaila (2015), dalam Islam ada tiga peringkat yang perlu ibu ayah lakukan sebelum merotan anak-anak.

Pertama, kita perlu terangkan kepada anak apa yang betul dan apa yang salah dengan baik. Kedua, peringkat peneguhan. Sentiasa ingatkan anak dan beri nasihat. Jangan lupa memberi contoh yang baik supaya anak lebih memahami dan dapat mengikutinya. Ketiga barulah peringkat memberi hukuman jika kesalahan dengan sengaja dilakukan.

Semasa belajar di kampus dahulu, saya ada belajar tentang cara-cara menghadapi anak yang bermasalah tingkah laku. Salah satunya ialah mengadakan time out. Time out  ialah satu keadaan di mana kita mengasingkan pelajar ini buat beberapa ketika sebelum membenarkan dia kembali ke dalam kelas atau kelompok rakan-rakannya.

Ada kebaikan dan kontranya. Sebaiknya apabila berlaku anak tantrum, perkara pertama yang dilakukan ialah ibu ayah bertenang, beri anak masa untuk meluahkan perasaan (mengamuk), peluk anak, bawa ke tempat lain dan mula bercakap dengan tenang.

Semoga tip ini membantu meredakan ketegangan yang timbul. Jemput mengikuti Channel Telegram saya di t.me/ainadayanadotcom .

Aina Dayana Hilmi,

Terus berusaha ajar anak mengaji.

Leave a Reply

Open chat