Anak pertama

Sudah dua, tiga kali aku ke tandas. Setiap kali selesai membuang air pasti aku periksa sekiranya ada keluar tompokan darah. Perkara ini berlarutan sehingga beberapa bulan. Trauma lepas masih menghantui. Kandungan lepas keguguran ketika di usia 12 minggu. Beberapa hari sebelum itu keluar titisan darah berwana coklat keperangan.
Sebab itu, pada kali ini aku lebih berhati-hati. Dari segi rutin, ibadah, pemakanan, minuman, penjagaan penglihatan, pendengaran dan percakapan juga dijaga rapi. Teringat nasihat ibu mertua, khatamkan al-Quran sekurang-kurangnya sekali sepanjang hamil ini. Suami turut kerap mengalunkan al-Quran berdekatanku.
Teringat ketika mencari nama anakanda ini, aku membaca kembali sirah Nabi dan membaca terjemahan al-Quran. Akhirnya Allah ilhamkan nama Khaulah yang bermaksud anugerah. Aku tidak mengambil nama Khaulah al-Azwar kerana mungkin al-Azwar ialah nama gelaran atau nama keluarga beliau. Kini, anakanda Khaulah sudah berusia 12 tahun.
Aina Dayana binti Hilmi
3 Oktober 2022