Anak Seorang Drebar oleh Tan Sri Shamsuddin Abdul Kadir
Buku : Anak Seorang Drebar
Penulis : Tan Sri Shamsuddin Abdul Kadir
Penerbit : ITBM (2019)
Bilangan muka surat : 440
Buku ini selalu lalu-lalang di WhatsApp status saya. Ada kawan yang rajin ambil gambar bukunya. Bila ditinjau dalam web Perpustakaan Negara Malaysia, buku ini boleh dipinjam. Tapi melihatkan ketebalannya melebihi 400 muka surat, terus tak jadi pinjam. Bukan lagi waktunya saya menatal skrin telefon untuk membaca. Mungkin jika membaca melalui Kindle, ia satu pengalaman yang lain.
Tan Sri melalui kehidupan yang sukar tetapi Allah permudahkan perjalanan hidupnya. Namun, tetap sahaja saya berasa cemas, kagum dan seumpamanya semasa membaca cerita dari awal. Keinginan yang kuat oleh ayah dan ibunya yang menaruh harapan tinggi supaya beliau berjaya dalam pelajaran merupakan suatu inspirasi. Ayahnya memiliki kemahiran memandu dan itulah mata pencariannya sepanjang hayat. Berkhidmat untuk bos berbangsa Inggeris sehingga hubungan terjalin sudah seperti sebuah keluarga.
Melalui zaman perang, kejatuhan Tanah Melayu ke tangan Jepun, pengunduran British memaksa rakyat Malaya berjuang untuk hidup. Beliau juga tidak terkecuali menghadapi kesukaran itu. Paling ketara apabila pendidikannya terjejas. Namun beliau tetap tidak berputus asa. Bila perang tamat, ayahnya berusaha masukkan semula beliau ke sekolah.
Bayangkan bermula semula. Darjah 1 umur belasan tahun. Apa yang saya pelajari dari kisah hidup Tan Sri, beliau seorang yang kuat semangat, sukakan cabaran, kreatif dan berusaha sehabis baik. Selepas beliau memasuki dunia pekerjaan, beliau membuat keputusan dengan tepat dan sangat membantu orang lain yang datang meminta pertolongan. Sifat pemurah beliau dan isteri juga boleh dicontohi.
Mengenali penubuhan awal Sapura Holdings sehingga berkembang maju menyaksikan jatuh bangun beliau dalam meneruskan jangka hayat syarikat. Beliau sentiasa sibuk dan berbuat sehabis baik. Beruntung beliau didampingi isteri yang menyokong.
Salah satu tanggungjawab SH ialah menyelenggara telefon awam. Antara cabaran yang dihadapi ialah kecurian duit syiling dari telefon mereka. Ada yang licik mendapatkan syiling tanpa memecahkan telefon tersebut dengan meletakkan span dalam ruang gelongsor syiling dan melekatkan dengan gula-gula getah. Jadi sekiranya pengguna membuat panggilan telefon dan tidak disambut oleh penerima, seharusnya pemanggil akan menerima semula duit itu. Tetapi dengan taktik ini, duit pasti tidak dikembalikan. Pencuri akan datang, memasukkan jari ke dalam ruang gelongsor dan menanggalkan span. Entah berapa banyak duit dapat dikumpulkan.
Tidak lupa juga, beliau mencoretkan peristiwa kehilangan insan tersayang dalam hidup. Dimulai dengan Bapak, Mak dan isteri tercinta. Kehilangan ini menyebabkannya terasa sebahagian besar hidupnya hilang. Jadi ‘blur’ dan kosong. Akhirnya setelah bertahun menyendiri, beliau bahagia dengan isteri dan sepasang kembar.
Ada banyak lagi peristiwa yang dicoret. Antaranya suka duka dalam dunia perniagaan, minat mendalam terhadap telekomunikasi, teknologi, sumbangan kepada negara, pembinaan menara KL dan lain-lain.
Teringat kata-kata ini apabila beliau sering merendah diri mengatakan yang beliau anak seorang drebar dan tidak punya apa-apa.
Barakallahu fik.
Buku 1 / 2022
Aina Dayana Hilmi,
Terus membaca.
2 Januari 2022
Betapa susahnya orang dulu nak meraih peluang untuk mendapatkan ilmu pelajaran… Generasi yang bersusah-susah itulah yang sangat tinggi pengalaman dan nilai dirinya kan..
Baca buku ni rasa semput nak baca. Heee. Sebab banyaknya kesukaran yang dihadapi tapi Tan Sri ni redah juga sampai berjaya.