Asing
Diri ini sangat penakut semasa kecil dahulu. Sukar berkomunikasi dengan orang, takut pergi ke tempat baharu, canggung berbual dengan orang yang tidak dikenali. Waktu itu memang terasa dalam hati, sampai bilalah aku nak jadi begini. Mahu tidak mahu, perlu beranikan diri memecah tembok ketakutan. Dan ia sangat mengambil masa.
Hari pertama di sekolah menengah menguji diri. Minggu orientasi pelajar baharu disusun sempurna bagi membiasakan semua murid dengan rakan-rakan dan suasana di sekolah. “Hai, siapa nama awak?” Seorang murid perempuan di hadapanku menegur. “Oh Aina, saya Aspalela,” sambungnya lagi.
Aku merasa lega kerana ada orang menegur dan memulakan perbualan. Meskipun kami akhirnya berlainan kelas tetapi itulah detik aku cuba bersikap terbuka dan beramah mesra dengan orang lain. Memasuki kelas 1R1, aku dikelilingi rakan yang baik-baik belaka. Menariknya, kebanyakan daripada mereka ada kaitan persaudaraan. Masing-masing datang dari kampung yang sama.
“Eh, kau tau tak makcik kantin kacau air pakai selipar?” Mengejutkan! Bulat mataku mendengar pertanyaan rakan di sebelah. “Eh, mestilah dia pakai selipar, habis tu takkan dia kaki ayam dalam kantin tu?” sambung yang lain. Berderai ketawa. Terkena! Haha. Sabar sahajalah. Seronok ada rakan yang ceria.
SMKSM 1997-2001
Aina Dayana Hilmi
9 Oktober 2022