Ayah dan lukisan

Mak dan ayah sibuk mengemas rumah. Membersihkan habuk, mengalih perabot, membuang barang lama. Memang penat. Waktu inilah pula jumpa album lama. Haha.. dah tak jadi kerjaan menghadap album lama pula.

Waktu inilah dapat belek semua gambar masa kecil. Haha.. barulah lebih tahu anak ni ikut muka siapa, anak buah yang itu ikut muka siapa. Panjang ceritanya nanti bila teringat kenangan masa kecil.

Dan paling kami hargai apabila terjumpa semula gambar-gambar mural ayah dahulu. Ayah punyai bakat besar dalam melukis. Dengan pensel pun jadi sahaja. Potret, mural, lukisan biasa semua ayah boleh buat.

Waktu saya kecil dahulu, ayah sangat sibuk bekerja. Sungguhpun bekerja sebagai guru sekolah yang umumnya mengetahui tempoh cikgu bekerja hanya 7.30 pagi hingga 1 tengahari tetapi ayah saya bekerja sampai malam. Sesekali terfikir juga, ayah ke mana dan buat apa?

Tapi sebab dah terbiasa dengan jawapan mak : Ayah pergi sekolah. Jadi kami pun tak tanya lanjut. Rupa-rupanya ayah mengusahakan lukisan dinding sekolah (mural). Bukan satu dinding, berdinding-dinding ayah buat 😘 Tanpa bayaran!

Uniknya ayah tak pernah draf atas kertas. Semuanya dilakar terus pada dinding. Saya pula sayangnya tiada bakat langsung melukis seperti itu. Malah waktu Pendidikan Seni untuk topik lukisan adalah satu ketakutan buat saya 😂

Sepanjang ayah berkhidmat, ada beberapa buah sekolah telah menerima sentuhan tangan ayah. Antara yang saya ingati ialah SRK Merlimau 1, SK Merlimau, SK Merlimau 2, SK Sempang, SK  Serkam Darat, SK Dato’ Demang Husin di Bukit Katil dan SK Alai. Semua ini sekolah di sekitar Merlimau dan Melaka Tengah, Melaka.

 

Tunjuk Cara

Seingat saya ayah pernah ada usaha untuk mengajar kami melukis. Ayah mengajar saya dan adik kedua, Amalina melukis rumah Melayu tradisional. Rumah yang agam dengan tangga batu melingkar seperti rumah Melaka dahulu. Ada berandah, serambi dan bumbung rumah yang dilukis motif bunga.

Kami memasuki pertandingan melukis dan mewarna anjuran sekolah pada tahun 1992. Malangnya saya tak sempat siapkan lukisan malahan menangis tersedu-sedu. Hehe. Cepat-cepat dipujuk oleh Cikgu Hamidah, seorang guru tahun 1. Adik saya pula tenang sahaja walaupun dia juga tak sempat siapkan lukisan. Malu pula bila saya yang kakak ini menangis di khalayak ramai sedangkan adik ‘cool’ sahaja 😅

Kedua, ayah jarang melihat kerja sekolah kami. Entahlah mungkin kerana kami sudah siapkan awal-awal di sekolah. Sebab ayah memang balik lewat sedikit dari orang lain. Kami menunggu emak habis waktu bekerja (mak cikgu sekolah menengah dan pulang pukul 2.05 petang). Jarak antara sekolah ayah dan emak mungkin dalam 20 minit.

Tetapi pernah suatu ketika saya menangis seorang diri dek kerana payahnya melukis kucing. Kan saya kata melukis merupakan satu taboo buat saya 🤣 Dalam diam ayah datang lukiskan. Dan menunjukkan cara membuat kolaj dengan betul. Wah, gembiranya hati masa itu 🤗 Bersungguh-sungguh saya buat.

 

Mengikut langkah

Malangnya saya tiada bakat melukis seperti itu. Saya sangkakan yang saya benar-benar tak pandai melukis sehinggalah saya menjalani praktikum (latihan praktikal mengajar) pada tahun akhir pengajian. Semua bahan bantu mengajar saya lukis sendiri kerana bagi saya gambar yang saya ingin guna dalam pengajaran sukar dicari di internet.

Dapatlah pujian daripada pensyarah pembimbing, bahagia sahaja rasanya 😂 Terima kasih ayah dan mak!

Bila kami berkahwin, anak-anak dan anak buah pun lebih kurang sahaja sebaya. Apabila tiba fasa mereka menconteng dinding, ya rabbi geram rasanya. Tapi bila atok sendiri ajar melukis pokok di dinding, wah wah wah, kami semua teruja. Hi hi.

Untunglah Soleh. Atok ajar terus buat “mural” di dinding.

73119245_2474885466168157_1941535276052512768_o

Ini ketika Soleh berusia setahun (November 2018)

 

Elok pula ada cartoon strip dari Tuan Nazry Salam, penulis Komik Misi 🤗

72527139_2474885949501442_352277869067501568_n

 

Lukisan mural

IMG-20191026-WA0005

Lukisan ini rasanya pada sudut membaca untuk perpustakaan sekolah (SRK Merlimau 1, Melaka) pada awal 1990-an.

IMG-20191026-WA0004

Lukisan ini di bangunan pejabat SRK Merlimau 1. Saya kurang pasti tahun berapa. Yang pasti saya berada di tahun 6 (1996) masih ada.

 

IMG-20191026-WA0006

Lukisan yang sama seperti di atas

 

IMG-20191026-WA0003

Mural ini di blok utama menghadap pintu gerbang SRK Merlimau 1, Melaka. Dahulunya blok ini dijadikan Bilik Warisan sekolah.

 

IMG-20191026-WA0007

 

IMG-20191026-WA0008

 

Kebanyakan mural ini sudah tiada lagi. Dan sayang sekali kami pun tidak mengambil gambar untuk simpanan. Tak mengapalah, ada juga sebuah lukisan yang ayah buatkan atas permintaan mak. Kini digantung di ruang tamu keluarga.

Pernah ada permintaan dari orang untuk buka kelas melukis. Ayah hanya tersenyum-senyum dan menggelengkan kepala. “Ayah tak ada sijil (mengajar).” Sabar jelah 😆

Ya Allah, ampunkanlah dosa kedua ibu bapa kami dan rahmatilah mereka dunia dan akhirat. Amin..Amin..Amin..

IMG_20191112_171518.jpg

 

 

Aina Dayana Hilmi,

Masa semakin berlalu pergi.

3 thoughts on “Ayah dan lukisan

  1. Assalammualaikum,
    Saya Lokman Jaafar. Bekas anak murid ayah awak. Dulu di SRK Merlimau 1,dia yg latih saya main bola sampai boleh wakil Melaka.
    Sampaikan Salam saya pada Cikgu Hilmi yer. Kalau boleh saya nak hubungi dia.
    Tlg email saya : mertzxx@gmail.com

Leave a Reply to Aina Dayana Hilmi Cancel reply

Open chat