Bacaan Mei 2020

Membaca menjadi terapi diri. Begitulah yang membuatkan saya tetap membaca setiap hari walaupun sehelai dua. Apabila membaca, saya seolah-olah pergi ke dunia luar. Ia sangat bermakna bagi saya seorang surirumah ini.

Saya melihat kehidupan orang lain, saya mendengar pendapat orang, saya merasai nikmat yang Allah berikan dan saya semakin menginsafi kejadian diri.

Bulan Mei lalu ialah bulan Ramadan yang kita cintai. Meskipun masih berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tetapi suasana Ramadan tetap dilalui dengan rasa yang istimewa.

Manakan tidak, pertama kali melaluinya di rumah sepanjang bulan Ramadan tanpa gagal solat berjemaah, solat sunat tarawih dan bertadarus bersama keluarga. Alangkah indahnya jika semuanya berkumpul di syurga kelak, bukan?

Aktiviti membaca saya juga seperti biasa. Ada 10 buah yang sempat dibaca di sebalik beberapa buah lagi yang tidak sempat dihabiskan.

6 buah buku fiksyen dan 4 buah buku bukan fiksyen.

1) Malcolm X

Kisah hidup Malcolm yang susah ketika kecil membuatkan beliau keras dan cekal hadapi hidup. Apa pun, Allah telah beri Hidayah kepadanya untuk memeluk Islam meskipun beliau terikut dengan pimpinan yang menggunakan agama untuk kepentingan sendiri. Hidupnya penuh liku membuatkan saya bersyukur dengan keadaan negara kita yang aman ini. Sekurang-kurangnya kita tidak hadapi ancaman bunuh untuk mempraktikkan Islam.

2) Untuk Hidup 2 Kali

Buku tazkirah. Saya suka lontaran ideanya. Bernas!

3) Menjejak Scleropages

Novel awal remaja. Menarik sekali apabila dua beradik ini mencari pencuri ikan-ikan mahal dari spesis ini yang kerap hilang di sekitar taman perumahan mereka. Ikan mereka sendiri telah hilang sebanyak dua kali.

4) Mamaku Menteri

Juga novel remaja terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Saya suka perjalanan cerita yang nampak santai dan positif. Kekuatan emosi Ayah sebagai Ketua keluarga sangat memberi impak ketika keluarga mereka dilanda krisis.

Anak mereka juga matang dalam perlakuan dan membuat keputusan. Malah berani menegur mama yang mula nampak lebih “daring” dalam berpakaian setelah menjadi Menteri.

5) Bening Merah Jingga

Kisah sedih. Percintaan antara dua beradik angkat ditentang keras oleh ayah kandung si abang. Kisah ini berlanjutan sehingga dewasa. Akibat beberapa peristiwa , hasrat mereka untuk berkahwin memang tidak dapat diteruskan ekoran tiada restu si ayah.

6) Mutiara Kasih Srikandi Rao

Saya sudah ulas sedikit di Facebook dan Instagram (Aina Dayana Hilmi).

7) 100 Kisah Kehidupan

Buku Motivasi ala-ala Chicken Soup for the Soul. Banyak cerita memberi inspirasi dan harapan.

8) Kasih Abang Teh

Kasih Abang Teh mengandungi 20 buah cerpen. Dan untuk tajuk ini, Abang Teh seorang OKU tetapi sangat sayangkan adiknya. Disebabkan keadaan dirinya, dia tidak dapat menyambung pelajaran ke sekolah menengah.

Dia selalu mengambil berat akan adiknya, menyediakan bekal makanan ke sekolah, menyiapkan serba-serbi peralatan sekolah adik dan berkongsi apa sahaja.

Tetapi si adik yang terkesan dengan ejekan kawan-kawan mula membenci Abang Teh sehingga berlaku satu peristiwa pahit.

Begitulah. Budaya mengejek sangat menjengkelkan. Huhu. Kita orang dewasa perlu main peranan. Tak perlu mengusik dengan melampau sehingga anak-anak terikut dan buat pada kawan-kawan.

Ia cycle yang tak akan putus selagi orang hipokrit sebegini wujud.

Ok, bersedia untuk bacaan Jun pula 😘

Jemput berukhwah di :

t.me/InfoIbuAnakbyAina

t.me/ainadayanadotcom

1 thought on “Bacaan Mei 2020

Leave a Reply to ardinihumaira Cancel reply

Open chat