Bagai inai dengan kuku
Majlis nikah dan kenduri sudah selesai sebelah siang itu. Selepas isyak ahli keluarga mula memenuhi ruang tamu di rumah. Masih ada yang berkemas di dapur tapi sempat meluangkan masa sebentar.
Semua berkumpul untuk berkenalan dengan ahli baharu. Cik Anis (atau anak-anak buah memanggilnya Makcik Anis), adik suami baru sahaja melangsungkan perkahwinan.
“Ini Kak Long Hashimah dan Abang Long Azmi. Anak mereka ada 5 orang. Yang sulung duduk di kanan saya, dipanggil Abang Long Syukri atau Toie. Itu isterinya Alin.
Nombor dua perempuan. Kami panggil Kak Ngah Nana. Nombor tiga tak ada malam ni. Tapi kalau perasan, siang tadi yang duduk berdua, jalan berdua tak berpisah-pisah, itulah dia. Namanya Shahir tapi kami panggil Abang Uda.”
Ketawa semua yang hadir. Sempat lagi rupanya suami memerhati ya. Memang abang uda dan kak uda ini bagai inai dengan kuku. Loving couple kata orang kampung sini. “Baguslah macm tu, saya ni dua tahun kahwin pun dah tertinggal isteri kat belakang.” 😝 Aduhai encik suami.
Adalah serba sedikit nasihat yang suami kongsikan. Bukan untuk pengantin sahaja sebenarnya, tapi untuk nasihat diri kami sendiri. “Baguslah rapat begitu, suami dan isteri memang harus berbaik-baik. Syaitan tak suka bila orang berkahwin. Pasti berusaha mengganggu.
Jadi, jagalah beberapa perkara terutama solat. Lelaki utamanya di masjid jika tiada keuzuran. Sama-sama melazimi al-Quran kerana al-Quran ini ibarat cahaya. Ada hadis Nabi sebut :
Janganlah kalian menjadikan rumah-rumah kalian seperti perkuburan. Sesungguhnya syaitan lari dari rumah yang dibacakan di dalamnya surah al-Baqarah” (HR Muslim).
Coretan kenangan aidilfitri tahun ini.
Peribahasa :
Bagai inai dengan kuku
Maksud :
Sangat karib (tentang orang bersahabat atau orang berkasih-kasihan).
#JurnalPenulisanOgos
Aina Dayana Hilmi
3 Ogos 2022