Bagai jawi terkurung siang

Malam ini menyelak gambar lama. Album-album sebelum ini disimpan rapi dalam almari. Tiba di halaman gambar kami pulang ke kampung empat tahun lepas, ada banyak gambar dengan Pak Su Anas. Adik bongsu ayah saya ini Sindrom Down. Saya ingat lagi, waktu kami pulang 2017 atau 2018, Pak Su nampak gembira menyambut anak-anak kami.

“Panggil Tok Pak Su,” dia memperkenalkan diri dengan cucu-cucu saudaranya. Masya-Allah bagus Pak Su. Kami betulkan gelarannya. “Pak Su, sebut Tok Su. Bukan Tok Pak Su.” Dia sengih sahaja. Kuat ingatannya kerana dia boleh cam anak-anak kami. Ini anak Yana, itu anak Dayah, yang kecil ini anak Lina. Walaupun dia tak ingat nama, tapi anak-anak pun bagai memahami bila Pak Su cuba berbual dengan mereka.

“Umi, kenapa dengan muka Tok Su?”

Ya, di pipi kanannya ada kesan parut. “Kisahnya, masa Tok Su bersunat, dia rasa bosan kena baring je. Orang aktif, dia tak sabar-sabar nak turun bermain. Jalan di halaman rumah, panjat pokok mangga dan panjat motor! Terjatuh pula tu. Terkena ekzos panas.” Haih ngeri bila ingat balik.

Bolehlah dikatakan bagai jawi terkurung siang. Maksudnya orang yang tidak dapat bertindak sesuka hatinya kerana terkongkong kerana adat. Jawi di sini maknanya lembu bukannya jenis tulisan. Menarik, kan? Lembu kan biasanya terkurung waktu malam bukannya waktu siang. Jadi bila dikurung waktu siang sudah pastilah ia akan gelisah. Teliti sungguh pengamatan orang dahulu.

 

#JurnalPenulisanOgos

 

Aina Dayana Hilmi

3 Ogos 2022

Leave a Reply

Open chat