Basikal

Menggigil-gigil aku membawa basikal dua roda itu. Tok Su setia berada di sebelah semasa aku mengayuh. ‘Eh, eh, eh,’ bergema suara aku di halaman rumahnya. Baru belajar mengimbangi badan. Akhirnya berjaya juga kukayuh basikal biru itu. Yeay, terima kasih Tok Su! Ia antara kenangan yang paling seronok ketika pulang ke kampung di Perlis suatu waktu dahulu.
Aku dan Lina, adik nombor dua akan ke sekolah agama sebelah petang dengan menaiki motor. Biasanya Mak atau Kak Long (sepupu) hantarkan. Tapi selepas kami sudah pandai mengayuh, ayah belikan basikal mountain bike. Malu nak pakai semasa minggu pertama ke sekolah. Umum mengetahui, basikal itu sangat mahal harganya. Tapi ayah tetap ayah. Prinsipnya alah membeli, menang memakai.
Aku rendang sahaja ketinggiannya. Maka bila naik basikal ini, perlu berhati-hati kerana agak tinggi dan kakiku perlu pantas mengayuh dan mengimbangi badan. Tapi seronok naik mountain bike ini. Lancar sahaja perjalanan. Lebih-lebih lagi perlu merentas kawasan sawah padi yang terbentang luas. Tidaklah terasa jauh dan bosan. Angin menerpa ke muka sehingga terasa mahu melayang beg yang disandang.
Aina Dayana binti Hilmi
6 Oktober 2022