Belajar memaafkan

Dahulu saya sekolah menengah harian aliran biasa. Ada juga sisi nakalnya. Zaman jahiliah yang tak mahu diingat kembali. Tetapi tetaplah ia memberi pengajaran buat diri sendiri sampai sekarang.
Saya pernah kesal tidak dapat tawaran ke sekolah menengah aliran agama kerana keputusan peperiksaan UPSR waktu itu hanya 3A 1B dan SSRA mendapat 3A 3B. Cemburu melihat kawan-kawan dapat memasuki sekolah impian.
Bila dilihat kembali, itulah perjalanan yang memberi pengalaman hidup sehingga Allah izinkan satu demi satu kejayaan diperolehi dan kebaikan didapati.
Pernah bertahun-tahun saya berada dalam fasa tidak sukakan pengalaman bersekolah menengah. Masih teringat-ingat peristiwa pahit terutama konflik dengan kawan baik, pengalaman diumpat dan lain-lain.
Saya jadi marah, emosi berubah dan tak mahu maafkan orang tersebut. Astaghfirullah. Pula tu selalu terbaca hadis لا تغضب (jangan marah). Lagilah terasa dalam hati.
Lama-kelamaan saya mula sedar, orang yang menyimpan amarah ini, hatinya tidak bahagia. Banyak penyakit pun boleh hadir tanpa sebab. Apabila mendengar tazkirah supaya memaafkan orang seikhlas hati,saya mula belajar melepaskan semuanya.
Ajaibnya, Allah beri ketenangan hati dan lebih bahagia menjalani hari-hari seterusnya. Waktu itu memang ketuk kepala sendiri. Mengapalah sia-sia membuang masa mengenang benda yang tak seronok.
Saya berdoa supaya rakan-rakan saya semuanya bahagia dan dilindungi Allah selalu. Saya juga berdoa agar anak-anak, anak buah saya dan anak kawan-kawan semuanya mendapat rakan yang baik-baik serta menjalani fasa persekolahan dengan jayanya.

Tambah lagi, minggu ini banyak melintas di Facebook, ibu-ibu menghantar anak masuk ke sekolah berasrama. Semoga yang terbaik untuk anakanda semua. InsyaAllah.

* Gambar lama kelas fardu ain kanak-kanak di masjid sebelum PKP berkuat kuasa.

Leave a Reply

Open chat