Buat buku cerita sendiri
Sudah berminggu-minggu saya tidak mengajar anak-anak di rumah. Sejak melahirkan baby Ahla secara emergency ceaser memaksa saya menghadkan pergerakan kerana bekas pembedahan masih terasa sakit. Saya maklumi anak-anak semakin bosan. Sebab itu bermacam perangai dibuat mereka.
Usia 0 hingga 6 tahun merupakan fasa pertama pendidikan anak-anak. Pada masa ini, pembinaan emosi dan akhlak yang terbentuk adalah hasil respons orang dewasa terhadap tingkah laku anak. Sebab itu dikatakan anak-anak ini adalah peniru yang hebat.
Saya sentiasa mengingati nasihat Pn Khadijah Gani, pengasas Kad Imbas Khadijah (KIK) yang ibu bapa perlu membersihkan “cermin pandang” setiap hari. Pandanglah anak-anak kecil dengan penuh kasih sayang dan penghormatan.
Suatu hari, baby Ahla tidur pada waktu pagi. Satu hal yang jarang berlaku kerana kebiasaannya Ahla akan berjaga seawal 8 pagi sehingga petang. Cuaca di luar hujan. Jadi anak-anak bermain di dalam rumah sahaja.
Lantas, saya capai alat tulis, pensel warna dan kad bersaiz 10″ x 10″ dari atas rak dan memanggil Asma’ dan Abdurrahman. “Hari ni nak belajar apa, ummi?,” Itulah soalan kegemaran Asma’ setiap hari. “Hari ni Asma’ nak buat apa?” Saya pula bertanya dengannya. “Asma’ nak tulis-tulis dengan warna.”
“Okay! Hari ini kita buat buku cerita nak? Asma’ bagi idea, ummi tuliskan.” Kata saya sambil melakar story board atas kertas. Haha.. Macam pro sahaja ya. Tidaklah, sekurang-kurangnya dapatlah saya aplikasikan ilmu yang pernah saya belajar dari kelas Multimedia suatu masa dahulu.
Sebelum melukis animasi, kartunis perlu siapkan satu story board. Seingat saya, dahulu kami perlu lukis secara terperinci dan tampal adegan-adegan pada mounting board (maaf jika tersilap ya. Sudah lebih 15 tahun tinggalkan subjek ini). Lukisan kasar ini hanya bermodalkan pensel. Tidak perlu diwarnakan lagi.
Berbalik kepada anak-anak. Selepas perbincangan, Asma’ kemukakan idea bukunya begini :
Kad 1 : Bila hari hujan…. (Alamak, saya pun tak pasti sama da mahu letak Bila atau Apabila?)
Kad 2 : Saya duduk di rumah.
Kad 3 : Saya baca doa turun hujan.
Kad 4 : Saya main dengan adik.
Saya tuliskan ayat dan Asma’ akan surih sehingga membentuk ayat lengkap. Pada setiap kad juga, ada yang saya lukis, ada yang ditampalkan kertas supaya timbul sedikit. (Gambar rumah dan payung)
Bab mewarna memang ambil masa yang lama. Anak pun bosan agaknya. Huhu. Mujurlah ada aktiviti menggunting dan menggam sedikit. Lebih kurang 2 jam lebih masa yang diambil untuk siapkan empat keping kad ini.
Alhamdulillah nampak kepuasan pada anak-anak. Meskipun hasil sangat amatur, tapi akan upgrade lagi nanti. Insya Allah. Saya harap impian untuk memiliki komputer riba akan tercapai dalam masa terdekat. Senang nak buat bahan bantu belajar anak-anak seperti dahulu.
Aina Dayana Hilmi,
“Bercinta” betul nak melukis dengan tangan 😆