Buku bersiri
Sunyi sahaja tengahari itu. Tingkap terbuka luas. Angin menderu menerobos masuk melalui celah tingkap naco rumah nenek. Cuaca di luar panas terik. Syukur Allah tiupkan angin yang mendamaikan. Saya melangkah ke serambi. Serentak itu menggelengkan kepala. Kesemua adik sedang berehat-rehat sambil menekuni buku cerita. Sudah pasti buku 7 Penyiasat yang ayah belikan semalam.
Itulah kegilaan kami suatu ketika dahulu. Siri 7 Penyiasat yang dianggotai Gemuk dan kawan-kawan serta seekor anjing mereka sentiasa kami ulang baca sehingga boleh hafal jalan cerita. Bukan sekali berangan mahukan geng sekawan yang begitu. Semuanya seia sekata, kan? Masing-masing ada kelebihan, penyayang, cerdik dan setiakawan yang tinggi.
Menginjak usia dewasa, buku Kenari terbitan Edusystem Sdn Bhd, Siri Salma, Hardy Boys, kisah asrama di Seri Melur dan novel dari Enid Blyton hanya tinggal kenangan. Kini sudah bermacam buku yang ada di pasaran. Jika ditanya saya waktu ini, saya membaca buku bersiri dari penulis Hilal Asyraf. Bermula dengan Trilogi Takdir, Siri Hero, Siri Satria Sejati sehingga kesemua bukunya sudah saya baca.

Buku Hilal Asyraf ialah novel aksi, ada unsur islamik dan memaparkan dunia pendekar atau hero yang baik demi kebaikan ummah. Secara tak langsung pembaca terdorong untuk mencontohi tauladan yang ditonjolkan melalui watak-watak. Anda belum pernah baca karya beliau? Saya cadangkan anda baca Nirnama. Semoga serasi dengan hasil tulisannya.
Tak dilupakan sebelum membaca buku Hilal Asyraf, saya mengikuti rapat karya Ramlee Awang Murshid (RAM) yang fenomena dengan Siri Tombiruo dan Laksamana Sunan. Hanya sahaja apabila saya mendapat cahaya mata ketiga, saya mula ketinggalan karya terbaharu beliau. Mujur sahaja ada adik ipar yang rajin membeli buku RAM. Dapatlah saya tumpang sekaki membacanya.
Bak kata Kak Tina Ishak, beliau suka baca buku bersiri kerana ia menjadi salah satu faktor penggalaknya membaca lebih banyak buku. Selepas habis satu buku, mahu cari buku seterusnya. Bagai ada tayangan dalam kepala apa akan terjadi. Aha, boleh cuba tip ini. Beliau membaca beratus buku setahun meskipun sibuk bekerja sebagai peguam, pelakon, penyanyi dan penulis buku.
Jom baca.
#jurnalpenulisan
#julai
#ceritatentangbuku
Aina Dayana Hilmi,
1 Julai 2022