Buku bukan fiksyen

Buku HM Tuah Iskandar ialah buku awal saya mengenal bukan fiksyen semasa di sekolah menengah. Bukan main obses lagi dengan tulisan beliau. Entah kenapa. Bermula dengan membaca novelnya yang bertajuk Enrique Mengundang Jauh dan Original saya mula mencari tulisannya Membina Imaginasi Cemerlang dan Nak Ke Tak Nak.

Menyertai Goodreads Malaysia pada tahun 2008 mendedahkan saya kepada kepelbagaian genre dan tajuk menarik dalam setiap bidang. Saya lebih suka membaca daripada menyampuk perbualan geng-geng otai itu. Antara yang saya masih ingati Kak Auni, Tuan Khairul Hezry, Pn Nisah Haron, Tuan Najmuddin, Tuan Nazmi, Tuan Isma Ae, Kak Najibah, Kak Azzah dan beberapa orang lagi.

Peningkatan usia turut menyumbang kepada kecenderungan minat membaca bukan fiksyen. Saya mula menggemari genre travelog, keibubapaan dan agama. Travelog Haji Mengubah Sempadan Iman yang dibaca ketika usia 20 tahun membuka minda saya akan kesungguhan niat menunaikan rukun Islam yang kelima itu. Sejak itu saya mengikuti tulisan Prof Kamil dan isteri, Pn Roza Roslan. Barakallahu fiikum.

Allah rezekikan cahaya mata pertama pada tahun 2009 namun kandungan itu gugur pada usianya mencecah 12 minggu. Pengalaman melahirkan bayi yang sudah tiada memberi kesan mendalam. Usai keluar dari hospital saya mula mencari ilmu keibubapaan selain memperkukuh ilmu agama.

Buku, majalah, jurnal, artikel, bertanya ibu yang lebih berpengalaman, konsultasi dengan doktor O&G, pakar laktasi dan sebagainya menjadi sumber ilmu. “Ala, anak pertama semangat lagilah nak membaca ni. Esok-esok anak dah bertambah, tak adanya nak baca ni semua,” pernah seseorang berkata kepada saya semasa melihat buku saya yang penuh dengan tabbing pada buku. Saya hanya senyum. Di dalam hati terdetik juga, betulkah saya bersemangat kali ini sahaja?

Untuk topik keibubapaan, saya menggemari tulisan Muhammad Fauzil Adhim. Cubalah cari bukunya :

1. Saat Berharga untuk Anak Kita

2. Segenggam Iman Anak Kita

3. Positive Parenting

4. Membuat Anak Gila Membaca

Bagi genre travelog, saya bermula dengan buku Asma Nadia Jilbab Traveler antara buku pembuka minat saya ke arah ini. Cuma, pengalaman pertama kali membaca buku Indonesia sangat sukar bagi saya. Hampir sahaja give up dek kerana banyaknya perkataan yang saya tak faham. Namun berusaha membaca hingga ke penamat dengan menebak makna dari struktur ayat. Menarik pengalaman mereka yang berkongsi kembara ke negara luar dengan keadaan menutup aurat.

 

Terkini, sedang membaca buku Pn Nur Shazareen bertajuk Günaydin! Selamat pagi, Turki! Kulit buku yang menangkap mata, sejuk mata memandang. Tahniah buat penulis kerana buku ini mendapat Dana Penjana MyCreative!

 

Anda suka baca apa?

 

Aina Dayana Hilmi,

12 Julai 2022

Leave a Reply

Open chat