Buku melebihi 500 muka surat

Kamus Dewan. Aha, itu yang terlintas di kepala. Kamus ini biasa saya usung ketika dalam tempoh cuti sekolah. Waktu itu kami tidak pulang ke kampung ayah di Perlis sebaliknya duduk di rumah sahaja. Kawan pun tiada mahu keluar bermain bersama. Mak sibuk menjahit dan ayah sibuk dengan kerja di sekolah (mungkin mengecat mural di dinding) manakala adik-adik tekun belajar menjahit cross stitch.

Majalah yang sedia ada dan akhbar Berita Harian banyak tersisip teka silang kata. Lalu saya mencuba untuk  menjawabnya. Buntu sekali melihat banyak petak kosong. Emak beri panduan supaya menggunakan Kamus Dewan. “Pak teh rajin buat ni,” ayah kata. Ya, sesekali pulang ke kampung saya lihat kamus tebal ini ada di atas meja di ruang tamu. Rupanya Pak Teh yang guna.

Buku fiksyen yang lebih 500 muka surat ini memang banyak dalam simpanan. Tak sangka juga saya boleh habiskannya dahulu. Entahlah mungkin semangat membaca sedang membuak-buak dan kurangnya komitmen kerja ketika itu. Hehe. Cintaku Luruh di Oxford karya Kak Noor Suraya dan suaminya, arwah En Rosdi (atau nama penanya Imaen) mengadun kisah cinta, kerjaya, ekonomi dan falsafah. Ya Imaen dan falsafah berpisah tiada. Lenggok bahasanya yang cantik membuatkan diri tekun membaca hingga habis.

Terbaru, sudah pasti buku Nirnama karya Tuan Hilal Asyraf. Saya memesan ketika pra tempah dibuka dahulu. Berbaloi membeli dengan harga begitu kerana termasuk 2 naskhah tebal bertulisan rumi dan jawi berserta pelbagai cenderahati seperti kalendar, buku seni, penanda buku dan lain-lain. Nirnama edisi jawi melebihi 700 muka surat dan saya hanya dapat baca selepas anak-anak selesai baca. Seorang baca edisi jawi, seorang lagi baca edisi rumi. Sedikit ulasan buku Nirnama boleh dibaca di sini.

Sasaran selepas ini mahu baca buku Angkuh dan Prasangka terjemahan Kak Irni Fazrita. Ya, buku Pride and Prejudice karya Jane Austen sudah diterjemah ke bahasa Melayu. Sila dapatkan dari penerbit Bibliopress (psst.. saya suka buku Filosofi Kopi dari penerbit ini).

Selamat membaca, kawan-kawan.

 

Aina Dayana Hilmi,

13 Julai 2022

 

Leave a Reply

Open chat