Buku Misi Tahfiz Siri 1 & 2

Semasa minggu orientasi saya di maktab perguruan, salah satu aktiviti awal sudah pasti perlu mencipta slogan dan logo bagi kumpulan. Arghhh… Satu perkara yang menakutkan bagi saya. Sebab saya tak pandai melukis 😅 Namun, pada waktu itu, ia merubah persepsi saya terhadap aktiviti ini.

Satu demi satu pembentangan kumpulan selesai sehinggalah tiba kepada kawan kami. Juri di hadapan kami (senior) yang senyap sahaja dari mula, tiba-tiba bersuara. “Siapa yang lukis ni? Cantik!” Sambil angkat ibu jari tanda bagus. Rupa-rupanya beliau ialah kartunis bagi majalah Gempak Starz pada waktu itu. Kagum apabila beliau menghuraikan serba sedikit ciri-ciri lukisan logo yang baik.

Dalam masa yang sama, saya mengikuti perkembangan penerbit PTS yang rancak menerbitkan Komik M buat bacaan anak-anak di bangku sekolah. Yalah, saya juga membesar dengan Majalah Ujang, Apo? dan Blues Untuk Aku. Sebenarnya banyak sahaja komik yang baik untuk bacaan anak-anak tapi persepsi masyarakat yang memandang komik sebagai bahan bacaan yang tidak baik menyebabkan berlaku sekatan minat terhadap anak-anak.

Komik Misi

Saya terjebak meminati Komik Misi selepas membaca sendiri beberapa buah komik oleh Tuan Nazry Salam dan adiknya. Sejak itu saya menggalakkan anak-anak dan anak-anak murid memilih Komik dari Tim Tuan Nazry ini.

Misi Tahfiz ada dalam Siri 1 dan Siri 2 dengan ketebalan tidak melebihi 120 muka surat. Harganya juga mampu milik.

Misi Tahfiz 1 (RM9.90)

Misi Tahfiz 2 (RM10.00)

Misi Tahfiz 1 dan 2.jpg

Misi Tahfiz Siri 1

Wajdi seorang anak tunggal yang cemerlang dalam pelajarannya. Namun dek kesibukan ibu ayahnya bekerja, Wajdi terasa hati apabila mereka tidak dapat menghadiri Hari Anugerah Cemerlang di sekolahnya. Takdirnya, mereka terlibat dalam kemalangan maut dalam keadaan Wajdi sedang marah kepada ibu ayahnya.

Sejak itu Wajdi tinggal bersama mak ngahnya. Wajdi merasa kecewa dan ingin memberontak. Namun Mak Ngahnya tetap sabar melayani kerenah Wajdi. Dipendekkan cerita, Wajdi mendaftar ke kem tahfiz yang berlangsung selama 40 hari.

Dunia baru

Wajdi mudah menyesuaikan diri. Dia bertekad untuk membaca al-Quran sehingga lancar dan menghadiahkan pahala buat ibu ayahnya. Suka sekali dengan kata-kata aluan ustaznya :

Tiada orang yang terus berjaya. Hatta Nabi Muhammad turut menempuh kesukaran dalam menyampaikan agama Islam yang kita anuti.

Gagapnya orang yang belajar membaca al-Quran pun diberi dua pahala, apatah lagi orang yang mahir membaca. Mereka akan bersama para nabi dan Malaikat.

Pembacaan al-Quran secara sempurna bukan satu perkara yang mudah dicapai dalam sehari dua. Untuk menghafalnya pula sudah pasti lebih tidak mudah.

Wajdi ada kawan baru ; Mad Arid. Beruntung ada kawan sebaiknya. Mad rajin menjawab persoalan dan menasihati Wajdi. Daripada Madlah, Wajdi tahu memakai serban, mengetahui adab-adab dengan al-Quran dan teknik menghafaz al-Quran. Wah!

Teknik menghafaz

1. Sebelum menghafaz pastikan sudah mengulang baca ayat tersebut sehingga sempurna dari kesalahan.
2. Semasa proses menghafaz, baca berkali-kali hingga dapat baca tanpa melihat mushaf. Ada kaedah menetapkan 30, 59 atau 70 kali pengulangan.
3. Setelah menghafaz, bacaan akan disemak oleh guru. Itu adalah hafazan jangka pendek. Untuk ingatan jangka panjang, mengulang dengan sistematik dan konsisten.

Teknik menghafaz Quran cara Mad (kawan Wajdi)

1. Semak bacaan sehingga sempurna tajwid dan makhraj.
2. Jika ayat terlalu panjang, pecahkan kepada beberapa potong ayat pendek. Pastikan berhenti di tempat yang betul.
3. Barulah mula menghafaz.

Wajdi juga hampir bergaduh besar dengan Asad, salah seorang peserta Kem. Mujurlah sempat diamankan oleh warden. Di akhirnya, mereka bertiga menjadi kawan baik. Adakah sambungannya dalam Siri 2?

Misi Tahfiz Siri 2

Wah, Wajdi yang mulanya tidak pandai membaca al-Quran akhirnya lancar mengaji dalam Komik Misi Tahfiz Siri 1. Dalam Siri 2, tanpa disangka Wajdi sendiri bersedia memasuki sekolah tahfiz INTAAS. Walaupun hasratnya ini tidak disetujui oleh seorang bapa saudaranya namun Wajdi tetap yakin meneruskan pengajiannya walaupun dikenakan syarat.

Di sini, Wajdi mempelajari asas membaca al-Quran seperti sebutan makhraj huruf dan mengenali hukum tajwid.

Misi Tahfiz 2 (sebutan).jpg

 

Dalam masa yang sama, ada seorang senior yang mahu membantu beliau menyebut dengan betul. Menarik cara latihan senior tersebut 🙂

Misi Tahfiz 2 (Sambungan latihan)

Misi Tahfiz 2 (Latihan)

Wajdi merasakan menghafaz Quran adalah payah namun nasihat Tok Ayah membekas dalam hatinya.

Misi Tahfiz 2 (Nasihat Tok Ayah)

Wajdi berpeluang mengikuti senior sekolahnya yang menyertai pertandingan hafazan. Dia masih belum mula menghafaz namun Tok Ayah mengizinkannya ikut atas dasar memberi semangat kepadanya nanti. Tanpa disangka, Wajdi terserempak denagan kawannya, Mad Arid. Aha, dan Mad Arid ada hubungan rupanya dengan senior yang mengajar Wajdi latihan di atas tadi.

 

Ibrah

Naskah yang kemas dari segi penyampaian maksud dan menaikkan semangat anak-anak yang membacanya. Dengan tambahan komik berwarna penuh, nilai-nilai murni yang dimasukkan adalah tepat dan semoga bertambah azam mereka untuk menghafaz Al-Quran. Elok sangat mak ayah belikan untuk anak-anak lelaki. Anak-anak ini kadang ada fasa membaca mereka. Bermula dengan buku bergambar, beralih kepada buku cerita kanak-kanak, seterusnya majalah, komik, novel dan sebagainya.

Meraikan minat mereka selain menggalakkan mereka mencintai ilmu. Selamat membaca.

 

Aina Dayana Hilmi,

Suka baca komik.

013-361 3516

Leave a Reply

Open chat