Buku Robo Belajar Tentang Manusia
“Ummi, kakak belum baligh kan?”
Tersentak mendengar pertanyaan anak sulung saya ini. Kami dalam perjalanan menaiki bas untuk pulang ke Melaka malam itu. Saya terdiam sebelum menjawab persoalannya.
“Belum. Mana kakak tahu pasal baligh?”
Lalu diterangkan yang dia terjumpa info ketika membaca sebuah majalah kanak-kanak. Saya menganggukkan kepala dan berjanji menceritakan lebih lanjut bila tiba di rumah nanti.
Dalam diam saya muhasabah diri. Ya, anak ini sudah bersekolah. Jika menurut agama, anak perempuan didatangi haid seawal usia sembilan tahun lagi. Bermakna saya sebagai ibu sudah perlu bersedia untuk fasa ini yang akan berlaku pada bila-bila masa sahaja.
Terima kasih kakak atas soalan itu. Saya berusaha mendidiknya dan memberi nasihat berkaitan baligh, aurat, adab dan seumpamanya. Kesempatan yang diambil selalunya selepas solat berjemaah dengannya atau selepas mandi. Biasanya mengambil masa sekitar 5 – 10 minit.
Manakan tidak risau, anak semakin membesar, pendedahan kepada dunia luar semakin besar cabarannya. Apatah lagi pernah membaca tentang kajian bagaimana anak-anak kita mencari sunber rujukan dalam hal begini :
Buku Robo Belajar Tentang Manusia
Buku ini bertemakan pendidikan seksualiti islami yang ditulis oleh Dr Anayasmin Azmi, seorang doktor kanak-kanak yang juga pemegang sijil sarjana dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak.
Bagi mereka yang mengikuti tulisan beliau pasti mengetahui watak Ziyad dalam buku Robo ada dalam siri lain seperti Ziyad and Tiger Adventures ; Animals From The Quran, Ziyad and Tiger ; Light Bulb dan Ziyad and Tiger ; Milipede Hunt.
Panduan ibu ayah
Buku ini memberi idea kepada ibu ayah dalam memulakan pendidikan seksualiti di rumah. Ia bukan semata-mata mengenai pendidikan seks tetapi menyentuh perkara paling asas seperti Perkembangan Manusia dari bayi hingga dewasa, Kebersihan Diri (merangkumi kebersihan tangan, wuduk, dan deria rasa) dan ada penerangan tentang ketagihan internet dan kesannya terhadap otak.
Aurat
Di sini ada disebutkan tentang sistem reproduktif manusia, sentuhan selamat dan tidak selamat serta aurat rumah. Tiga topik ini memberi point of view penting yang diharap dapat memberi penjelasan kepada anak-anak mengapa perlunya menjaga aurat dan adab pergaulan.
Suka sekali dengan penegasan penulis tentang berhati-hati dalam pergaulan. Perempuan yang sudah didatangi haid boleh mengandung tidak kira berapa pun usia. Maka hati-hati dalam pergaulan.
Ada 12 bab di dalam buku ini. Setiap bab pendek hanya ada empat muka surat yang diakhiri dengan aktiviti pengayaan.
Topik aurat rumah membuka mata anak-anak apabila kami meminta mereka melukiskan ruang dalam rumah dalam bentuk lakaran mudah. Di sini kita dapat melatih adab kerana ada beberapa waktu yang digariskan ahli keluarga perlu peka seperti dalan Surah An-Nur ayat 58 iaitu :
❤ Sebelum subuh
❤ Selepas zohor
❤ Selepas isyak
Berbaloi
Hanya RM25 untuk sebuah buku yang baik. Bersaiz besar dan berwarna penuh. Kertas juga jenis glossy. Tulisannya juga besar dan ada disertakan ayat Quran yang berkaitan. Semoga bermanfaat.
Cakna dengan perkembangan anak.