Catatan kandungan ketujuh
Ketika bersalinkan Ahla Unaysah pada tahun 2019, saya menulis sedikit-sedikit sebagai terapi melepaskan sedikit tekanan. Sesungguhnya pada tahun itu saya mengalami banyak peristiwa yang tidak seronok tetapi tidak pernah saya nyatakan secara jelas dalam penulisan.
Sebaliknya saya alihkan perasaan tidak enak itu kepada membaca, menulis dan makan. Ya, makan! Bukankah ia aktiviti yang menyeronokkan? Haha. Jangan disebut tentang diet. Memang tidaklah termasuk dalam jadual tika itu.
Alhamdulillah hampir setahun menanggung beban itu akhirnya emosi saya kembali baik dan stabil. Orang kata dah boleh ‘move on’. Tahun ini, saya bersalinkan si bongsu Aieesyah Siddyeeqah pula. Kesakitan selepas pembedahan membuatkan saya membuak-buak rasa mahu menulis.
Setiap kali selesai melahirkan secara pembedahan, kesakitan yang dialami membuatkan saya jadi sukar bergerak dan hanya terlantar di katil. Hari-hari terawal berpantang memang mengharap bantuan orang untuk bangun, duduk, baring dan sebagainya.
Ia perasaan yang tidak gembira. Bagaikan menyusahkan orang sekeliling. Suami kerap berpesan, jangan difikirkan kesusahan, berzikirlah. Semoga Allah beri ketenangan. Sungguh, tiap ujian yang Allah beri sebenarnya ada sesuatu untuk kita. Cuma bagaimana kita menanggapi kesukaran tersebut.
Setiap kali dilanda ujian seperti tekanan darah yang tidak stabil, keadaan yang tidak selesa selepas dicucuk, kesakitan pada tempat jahitan dan seumpamanya, saya akan berkata kepada diri sendiri, “Insya-Allah sekejap je ni. Kamu boleh hadapinya. Sabar, sabar. Ia akan berakhir juga. Kena kuat semangat.”
Walaupun ketika melaluinya, ada air mata yang turun, ada semangat yang hilang, ada perasaan yang tidak menentu, tetaplah berpegang kepada keyakinan Allah sentiasa ada. Begitulah. Kuatnya semangat ibu-ibu yang mengandung dan melahirkan ini.
Doktor bidan juga memainkan peranan. Saya lega apabila keputusan bersalin kali ini dengan Dr Ishaireen dipersetujui oleh suami. Kami memulakan tabungan bersalin seawal kandungan. Maklum, bersalin di hospital swasta pasti diiringi dengan kos. Dr Ishaireen tenang sahaja merawat saya.
Kandungan kali ini saya menghadapi dua masalah kesihatan. Tekanan darah yang tidak stabil dan asthma. Dr beri sebiji Aldomet (250g) yang perlu dimakan tiga kali sehari dan alhamdulillah didiscajkan daripada makan ubat ini sehari sebelum bersalin. Asthma pula menyerang bermula ramadan tahun ini sehingga Julai. Menjelang Ogos, asthma terus sembuh Masya-Allah.
Sungguhpun begitu, tempoh asthma dirasakan begitu lama. Saya sukar tidur setiap malam. Berubah posisi dan tempat tidur juga kurang membantu. Mungkin ini juga punca mengapa tekanan darah saya naik. Akhirnya saya tidur dalam keadaan duduk di sofa atau birai katil. Waktu siang saya akan mengantuk selepas makan ubat. Jadi, kebanyakan urusan rumah tangga diambil alih oleh suami.
Sejujurnya saya rasa kecewa dengan diri sendiri. Rasa lemah sangat. Tetapi suami dan ahli keluarga terdekat tak putus-putus beri semangat. Terima kasih banyak. Semoga Allah ganjari kebaikan kalian.
Perancangan awal, saya akan habis cuti menjaga anak (CMA) pada 29 Oktober 2021. Namun, asbab mengandung tahun ini, CMA saya ditamatkan lebih awal iaitu pada 28 September 2021 memandangkan saya bersalin pada 29 September. Cuti bersalin bergaji penuh saya bermula pada 29 September 2021 selama 90 hari sebelum kembali memulakan tugas di sekolah yang sama insya-Allah.
Nanti apabila berkesempatan mahu menulis detik bersalin awal si bongsu ini insya-Allah. Jaga diri semua. Jumpa lagi.