Ceritera hari ini

Dah tiba malam baru rasa badan sakit-sakit. Sungguhlah cikgu kamu ni sudah tak fit badannya. Alkisahnya anak murid moody hari ini. Tak ada pembantu pengurusan murid sebab mereka ada tugasan lain.

Sekali dia nak banting badannya atas lantai, sepantas itulah cikgu nak tahan takut berdentum kena lantai. Tapi tak dapat buat begitu, dia pusing begini. Kuatnya tenaga anak-anak istimewa ini. Kudos to their parents. Kental menjaga anak istimewa.

Kita pula kelelahan (memang cikgu ada asthma pun), anak ini masih bertenaga. Selepas faham situasi yang dihadapi, anak ini duduk diam-diam di kerusinya. Subhanallah! Disuakan bekal makanan dan dimakannya sendiri. Anak oh anak.

Menjelang tengahari, pulang lewat sedikit selepas siapkan rancangan pengajaran harian dan bahan bantu mengajar. Menunggu kawan pulang dari bank membawa tukaran duit raya. Bukan seribu dua warga sekolah ini tukar duit, berbelas K. Masya-Allah.

Disebabkan kad ATM kami suami isteri sudah rosak / tamat tempoh, bergegaslah ke CIMB terdekat. Turun dari kereta, berpapasan berdua sambil berbual. Ada seorang budak perempuan menegur suami saya. Biasanya saya diam memerhati.

Rupanya bekas muridnya ketika di sekolah rendah dahulu. Bertemu juga dengan ibu dan adiknya. Pertemuan singkat tetapi banyak mendengar luahan hati si ibu beranak sepuluh ini. Mencabar sekali ujian hidupnya tetapi saya kagum anak-anaknya tertib dan beradab.

Antara isi yang diutarakan ialah kebimbangan terhadap salah seorang anak yang begitu obses dengan telefon pintar. Bermula sejak PDPR, ketagihan itu semakin memuncak sehingga tak mampu berenggang dengan telefon.

Membimbangkan apabila berada di rumah, solat main-main, mengaji al-Quran pun tak nak, update gambar peribadi di laman sosial dan lain-lain. Berbeza ketika anak ini duduk di asrama. Solatnya terjaga, dilantik menjadi imam solat dan tidak tinggalkan al-Quran.

Allahuakbar. Ujian ini turut melanda sebahagian anak remaja dalam masyarakat, kan?

Berbalik kepada bank tadi, sampai di kaunter barulah saya perasan yang dompet tiada dalam beg! Sampai saat menaip entri ini pun saya belum jumpa lagi.  Alahai, janganlah hilang lama-lama 😅 Ada kad pengenalan saya dan semua anak, kad kahwin, kad bank dan sedikit wang.

Pulang ke rumah, menghadap anak-anak pula. Seronok buat aktiviti tapi saya sudah keletihan. Sempat pula terlelap selepas solat isyak. Bangun tengah malam begini, harapnya tak terlajaklah sahur nanti. Hee.

Ok, catatan buat kenangan namanya ini. Sambung berehat. Selamat berpuasa semua.

 

Aina Dayana Hilmi,

25 April 2022

Leave a Reply

Open chat