Darah Tinggi Semasa Hamil (Praeklampsia)

Bulan itu terlewat dua hari dari kitar normal. Naluri hati mengatakan ada sesuatu. Bila diajukan kepada suami, katanya mungkin perubahan hormon. Tetapi saya “degil.” Tetap juga membeli “pregnancy kit” dari farmasi. Selalunya dinasihatkan untuk buat ujian air kencing pada waktu pagi kerana hormon human chorionic gonadotrophin (hCG) tinggi. Saya pula terus uji sebaik sahaja tiba di rumah. Hee..

“Double line!”

Masya Allah, benarlah naluri yang Allah bagi. Alhamdulillah namun saya perlu bersedia dengan beberapa kemungkinan ekoran kandungan terdahulu pernah mendapat prakelampsia sebulan sebelum melahirkan sehingga saya perlu makan ubat. Aldomet namanya.

Waktu itu memang tertekan sebab tak tahu puncanya. Menurut doktor, kemungkinan badan saya tidak begitu ‘fit’ dan jantung bekerja lebih untuk menghantar darah ke plasenta bayi.

Kandungan kali ini, saya lakukan pemeriksaan antenatal seawal mungkin, memantau tekanan darah setiap hari, menjaga pemakanan, cuba untuk tidur awal dan bangun awal serta mengelak stres.

Malang sekali ketika menghadiri pemeriksaan antenatal pada 30 Mei, tekanan darah saya melebihi 140/90! Doktor mengarahkan supaya saya ditahan di wad dan saya memohon untuk dirujuk ke Hospital Melaka. Begitulah sehingga akhirnya saya terpaksa juga melalui “emergency ceaser” akibat tekanan darah yang tidak stabil dan jantung bayi semakin lemah.

Praeklampsia

Menurut Dr Salini Suhaila Nasir, Pakar Kesuburan & Sakit Puan, praeklampsia ialah gangguan sistemik hipertensi kepada ibu yang mengandung pada fasa trimester kedua yang melibatkan tekanan darah tinggi beserta rembesan protein dalam air kencing.

Masih belum dapat diketahui dengan jelas bagaimana perkara ini boleh berlaku namun mengikut kajian yang dijalankan ia berkait rapat dengan uri dan plasenta di dalam rahim ibu. Masalah praeklampsia boleh dilihat dari awal walaupun sesetengah ibu sukar mengesannya lebih dahulu.

Antara tanda praeklampsia :

✅ bengkak kaki yang teruk
✅ berat badan naik mendadak
✅ sakit kepala
✅ pedih ulu hati
✅ mata kabur
✅ kencing dalam kuantiti sedikit
✅ sesak nafas

Ada yang pernah alaminya? Ia boleh berulang kepada ibu-ibu yang pernah mengalaminya pada kandungan terdahulu, pesakit darah tinggi dan berlebihan berat badan. Ia boleh memberi risiko kepada bayi seperti saiz bayi kecil, meninggal dalam kandungan, bayi kurang oksigen dan kelahiran pramatang.

upset-2681502__480.jpg

 Tidak lupa juga kandungan protein yang didapati dalam air kencing boleh menjadi asbab ibu mendapat sawan. Segera dapatkan rawatan di hospital ya.

Leave a Reply

Open chat