Datang mengaji kerana siapa?

Selain kelas mengaji al-Quran di Darul Sunnah, ada kelas mengaji di masjid kampung yang dinamakan Kelas Kaffah (kelas asas fardu ain) dan Kelas Takwa (Tahfiz Kanak-kanak Masjid al-Wathoni). Kelas di masjid di bawah pentadbiran masjid sendiri. Kelas bermula 8.00 – 10.30 pagi setiap Sabtu dan Ahad.

Saya turut membantu apabila berkesempatan. Tidak dapat istiqamah kerana mengurus bayi dan anak kecil šŸ˜…

Suatu hari, saya menjengah ke ruang utama solat. Kelas Kaffah diadakan di situ. Kehadiran agak ramai dan ustaz sedang sibuk mengajar murid lelaki terlebih dahulu. Anak-anak perempuan sudah mula gelisah, entah sama ada mahu cepat mengaji atau mahu cepat main. Haha.

Lalu saya panggil mereka ke saf hadapan untuk berkenalan.

“Alhamdulillah anak-anak, tahniah sebab datang kelas mengaji hari ini. Ada kawan kita di luar sana tak ada peluang pun nak datang ke masjid untuk belajar. Kita datang mengaji kerana siapa?”

“Allah…” Semuanya menjawab begitu.

“Masya-Allah, bagus jawapan tu. Betul. Kita buat semuanya kerana Allah. Bukan kerana mak suruh, ayah, nenek suruh atau sebab atok datang hantar.” Mereka ketawa. Adalah agaknya yang datuk hantar pagi tadi.

Tiba-tiba ada satu suara kecil kedengaran, “Ustazah pun datang mengaji ke? Mak ayah ustazah suruh ke? Ustazah datang kerana Allah?”

Haha.. ustazah terkedu di hadapan mendengar petahnya mulut si anak ini.

 

Aina Dayana Hilmi,

8 Februari 2022

Leave a Reply

Open chat