Diari Cikgu Kelas Mengaji
Pengumuman PKPB pada November lalu sekali lagi menyaksikan kelas mengaji kami di Darul Sunnah, Kampung Bukit Pegoh, Melaka terpaksa bercuti semula. Setelah beberapa minggu, kami ambil keputusan untuk buka semula kelas pengajian.
Bukan apa. Kasihan dengan anak-anak. Lama bercuti mengaji. Sudahlah masjid terhad kepada kanak-kanak bawah 12 tahun, kelas al-Quran pun tak dapat pergi. Namun, kami sedaya upaya mengikuti SOP seperti pemeriksaan suhu, pemakaian pelitup muka, penjarakan sosial dan kali ini selepas mengaji boleh terus pulang ke rumah.
Dahulu, kelas mengaji bermula 6 petang sehingga 8.15 malam. Anak-anak wajib solat maghrib berjemaah, meneras (membaca al-Quran dari surah Ad-Dhuha hingga An-Nas) dan membaca zikir petang. Bacaan hadis disertakan sekali.
Dalam norma baharu, kelas kami bermula daripada 5.00 petang sehingga 6.30 petang sahaja setiap Isnin hingga Jumaat. Kami mulakan dengan bacaan zikir petang dan mengaji al-Quran. Alhamdulillah semua anak murid memberikan kerjasama yang baik kepada 3 orang tenaga pengajar ini (Saya, Ustazah Sharifah atau orang kampung panggil Long Cikpah dan Cikgu Rohana).
Kelas ini secara tradisinya tidak mengambil sebarang yuran kelas. Cuma baru-baru ini sahaja saya memohon bayaran RM5 untuk buku rekod mengaji anak-anak. Guru-guru pun mengajar secara sukarela. Namun, alhamdulillah Allah hantar orang yang baik-baik menginfakkan sejumlah wang untuk elaun guru-guru. Jadi dapatlah saya berikan kepada 2 orang ustazah tersebut.
Ada pelbagai cerita anak-anak ini datang mengaji. Umur serendah 4 tahun sehingga 14 tahun, semua ada ragam sendiri. Kebanyakan anak-anak sekitar kampung ini dan kampung sebelah. Datang berjalan kaki, berkawan-kawan dengan jiran dan sepupu-sepupu, ada yang dihantar oleh ibu ayah mahupun berbasikal sendiri.
Sesekali ada orang luar atau ibu ayah yang memberi infak makanan. Dapatlah anak-anak ini merasa dan membawa pulang cenderahati. Semoga Allah murahkan rezeki pemberi kerana menggembirakan dan memberi makan anak-anak.
Kali ini kami menerima seorang dua anak murid berusia 4 tahun dan baru pertama kali mahu belajar mengaji. Jadi saya ambil masa 15 minit pertama untuk ajar mereka mengenal huruf hijaiyah. Mengapa mengenal huruf terlebih dahulu? Supaya mereka mengetahui ada perbezaan antara huruf hijaiyah dengan huruf berbaris seperti yang dibaca dalam iqra’ dan al-Quran.
Misalnya dalam surah Al-Baqarah, ayat pertama ialah alif lam mim dibaca dengan menyebut hurufnya bukan dibaca : aaa laaa maa sepertimana sebahagian anak murid yang meletakkan baris fathah (baris atas). Ini salah satu ilmu yang saya dapati daripada Buku Bukan Sekadar Homeschooling tulisan Pn Khadijah Gani.
Baru 3 kali sesi dengan anak-anak 4 tahun ini dek hambatan masa yang singkat. Zaiff dan Aman nampak boleh ikuti dengan baik. Doakan mereka mengenal huruf seterusnya dapat membaca dengan baik. Paling berharap agar mereka mencintai al-Quran hingga hujung nyawa. Amin..Amin..


Saya lukis tangan sahaja memandangkan tiada pencetak. Anak-anak surih huruf hijaiyah alif dan mencari jalan pulang untuk arnab. Kemudiannya saya tukar kaedah pada lembaran huruf hijaiyah ba memandangkan salah seorang anak ini belum kuat kemahiran motor halusnya untuk menekan mata pensel pada kertas.

Jadi lembaran kedua anak-anak lekatkan pelekat pada huruf ba dan menyurih dengan tangan. Saya andaikan mangkuk besar sebagai huruf ba.
Huruf ta tak dapat ambil gambar latihannya sebab telefon tiada bateri sehari suntuk 😅 Aman pun dah terhilangkan kertas Itu 😄 Jadi huruf tsa sahaja yang ada.

Antara bahan bantu belajar yang saya guna ialah :
✨ Kad Imbas Khadijah

✨ Poster Saya Suka Mengaji

✨ Buku Aktiviti Anakku Bijak Alif Ba Ta


Insya Allah akan terus berkongsi jika berkesempatan. Sesekali mencoret di Facebook dengan #diaricikgukelasmengaji.
Doakan saya sekeluarga.