Fokus ; isu besar masa kini
Minggu lepas, adik buat makan-makan di rumahnya. Meriah sampai tengah malam kami bersembang. Mak, ayah dan nek dah lama balik. Tinggal kami adik-beradik. Suami-suami pun dok bersembang juga.
Ada topik pasal fokus anak-anak. Teringat pernah baca pasal ini dalam buku Ikon Syabab 2 yang ditulis oleh Ustaz Umar Muhammad Noor.
Jadi esoknya, selepas solat ambil kesempatan bercerita dengan anak-anak ini. Anak buah pun ramai. Eloklah berkumpul sekali.
Pada abad ke-7 Hijrah, ada seorang ahli hadith dari Damsyik yang sangat kuat ingatan. Namanya Diya al-Maqdisi. Beliau boleh cam nama perawi serta sanadnya apabila mendengar sesuatu hadis. Dimaklumi orang yang menghafaz hadis tidak boleh ada kesalahan dalam mengingat demi menjaga keaslian dan kesahihannya.
Suatu hari beliau ingin keluar bermusafir menuntut ilmu. Beliau meminta nasihat daripada gurunya, Ibrahim al-Maqdisi. Gurunya berkata :
Bacalah quran sebanyak mana pun ayat, begitulah ilmu yang akan kamu pelajari.
Perkara ini diakui oleh Diya al-Maqdisi. Jika sehari beliau membaca banyak ayat quran, banyaklah ilmu yang beliau dapat belajar. Tapi jika dia tidak membaca quran, satu hadis pun dia tak dapat belajar.
MasyaAllah.
Berkatnya al-Quran. Salah satunya melatih fokus. Apabila kita membaca al-Quran dengan melihat mushaf, kita dapat melatih membaca dengan tajwid yang betul selain dapat pahala kerana memandang mushaf.
Ustaz Umar turut bawakan kata-kata Daniel Goleman dalam bukunya Focus ; The Hidden Driver of Excellence. Katanya penyakit mental ini turut melanda golongan profesional. Sehingga ada seorang peguam memerlukan ubat bagi mengembalikan fungsi fokusnya seperti biasa.
Tertarik dengan kesimpulan ustaz :
“Kembalilah kepada al-Quran, prestasi anda akan meningkat.”
Cubalah.