Gembira dan bahagia
Fakulti FTMK, KuTKM (2004)
Pintu ke ruang bilik pensyarah dikuak. Aku dan Dayah menjenguk ke dalam. Oh, nampaknya ada rakan lain sedang present. Maka, menunggulah kami berdua dalam debaran. Ini semester ketiga aku di KuTKM. Secara jujurnya aku tiada hati sangat untuk belajar dalam kursus ini. Semuanya teknikal dan memerlukan kreativiti. Aku rasa aku tak kreatif. Tapi aku tak berani meluahkan kepada orang lain.
Ia menjadi tekanan buat diri. Aku suka apabila ada mata pelajaran yang melibatkan banyak membaca berbanding subjek multimedia yang menjadi majoriti dalam senarai kursusku. Hari itu, kami diminta membentangkan proposal mini projek multimedia kepada En H, pensyarah kami. Tiba-tiba, telefon bimbitku bergetar. Paparan skrin memperlihatkan suatu nombor bermula dengan 03…..
“Assalamualaikum. Aina Dayana Hilmikah ini?” Suara di corong telefon aku amati. “Baik Aina, kamu berjaya dalam temuduga perguruan dan akan ditempatkan di Maktab Perguruan Ilmu Khas. Pendaftaran pada 19 Julai ya….” Aku sudah tidak begitu menumpukan kepada kata-kata beliau yang seterusnya kerana terasa ingin melompat di situ juga. Alhamdulillah, alhamdulillah. Aku bakal menjadi guru pelatih! Tercapai hasrat mak dan ayah.
Terima kasih yang diucap berulang kali membuatkan Dayah berasa hairan. Dengan gembiranya aku maklumkan yang aku mendapat tawaran kemasukan ke maktab perguruan. Namun, reaksi spontan Dayah membuatkan aku tergamam. Bergenang air mata sahabat yang seorang ini. Allahuakbar. Serentak itu, giliran kami dipanggil berjumpa pensyarah dan aku segera memaklumkan berita tersebut.
Nekad
“Betul ke awak nak jadi guru pendidikan khas? Saya tak ada halangan tapi kamu perlu tahu menjadi guru pendidikan khas ini mencabar,” balas pensyarah. Beliau seorang yang tenang dan aku suka belajar dalam kelasnya. “Tahu encik, saya membesar dalam suasana mak dan ayah menyantuni ahli keluarga yang Sindrom Down. Mak dan ayah saya pun bekerja sebagai guru sains tapi kini menjadi guru pendidikan khas,” jawabku.
“Masya-Allah. Kalau begitu, teruskan. Saya ucapkan semoga berjaya.” Encik tak tahu betapa leganya aku tak perlu bentang prosposal berkenaan. Terasa bagai Allah makbulkan doaku supaya tidak teruskan kursus semester ini. Aku terus keluar dan menelefon ayah untuk tindakan selanjutnya. Sempat juga aku bertemu beberapa orang pensyarah yang mengajarku. Mohon maaf atas apa juga kesalahanku dan dihalalkan ilmu yang diberi. Aku tidak berlengah mengurus pemberhentian dengan berurusan di pejabat pendaftar KuTKM. Dekan fakulti sempat termenung melihat suratku sebelum memberi sepatah dua nasihat.
Tiba-tiba jadi sangat berani. Aku sejak kecil ada masalah rendah diri dan sukar berkomunikasi dengan orang lain tetapi tidak untuk kali ini. Mungkin kerana aku mahu mulakan perjalanan baharu menjadi seorang guru. Aku mahu tinggalkan mana-mana sikapku yang buruk dan pengalaman yang tidak seronok di sini. Aku lega sudah melepasi fasa hubungan dengan seseorang. Biar sahaja ia menjadi pengalaman buatku dalam hidup. Masing-masing sudah membawa haluan sendiri.
Menjadi guru pelatih di MPIK ialah detik yang bermanfaat dan menjadi titik mula meniti dunia kerjaya seterusnya.

Aina Dayana Hilmi
11 Oktober 2022