Gunakan masa yang berharga
Rentetan dari kisah ahli hadis tempoh hari, kami baca sebuah hadis berkaitan.
من حسن إسلام المرء تركه ما لا يعنيه
Tanda baiknya keislaman seseorang ialah meninggalkan apa yang tidak berguna baginya. (Hadis Riwayat Tirmidzi)
Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a.
Masa pesan dengan anak-anak, pengajaran hadis ini antaranya :
– Menunjukkan masa sangat berharga dan kita harus gunakan dengan baik.
– Islam sudah beri panduan supaya buat benda yang bermanfaat sahaja.
– Ulama’ dahulu pun banyak habiskan masa dengan membaca, menulis dan pergi belajar. Bahkan ada yang dipenjarakan, tapi masih mampu menghasilkan buku.
“Ulama’ dulu menulis, umi? Macam kitorang tulis jurnal ke?”
Ha bolehlah.
Mereka tulis buku yang bagi ilmu pada orang.
“Oh, macam buku cerita tu eh umi?”
Boleh juga.
Ulama’ ni biasanya tulis ilmu agama atau bidang mereka. Ada pandai Matematik, Sains, pakar tumbuhan dan seumpamanya.
Sebab itu kita ada solat 5 waktu sehari semalam. Dalam sehari tu kita ada panduan nak guna masa. Pagi kena bangun awal, solat subuh. Dah kena bangun awal, mestilah malam kena tidur awal, kan?
“Oh, patutlah lepas isyak disunatkan tidur eh umi?”
Ya, betul tu. Lepas isyak bukan masa tengok TV, keluar makan malam di kedai dan lain-lain kecuali ada keperluan terdesak. Contohnya sakit kena ke hospital atau pergi belajar.
Pernah diceritakan waktu subuh adalah waktu meriah bagi para sahabat dan ulama terdahulu. Mereka sudah tidur awal selepas isyal. Bangun awal sebelum Subuh pergi menziarahi jiran yang sakit, membaca al-Quran dan bersedia untuk solat subuh. Malah ada para guru yang sudah mula tasmik hafazan dan pelajaran anak murid waktu ini. Sebab itu mereka perlu bangun awal supaya tidak ketinggalan. Masya Allah.
Moga anak-anak dapat sesuatu daripada kisah-kisah ini. Terlebih tidak, sebenarnya umi yang lebih terasa. Belajar ilmu baharu bila membaca dan berbincang begini. Wallahualam.