Hari pertama tahun 1 bagi Asma’

Semalam Asma’ minta bekal nasi goreng cina untuk dibawa hari ini. Sehari sebelum dia sudah sebut. Saya diam. Dia ulang lagi. Saya angguk. Agaknya dia ingat saya tak perasan.

Nasi goreng cina.

Saya agak sayu apabila melihat atau mendengar nama menu ini. Sebabnya inilah antara kesukaan tiga orang anak saya semasa duduk bersama pengasuh dahulu, ibu Maya.

Ibu Maya menjaga anak sulung saya sejak usia Khaulah dua bulan sehingga berumur enam tahun. Sempatlah Abdullah dan Asma’ juga duduk sekali sementara saya pergi bekerja.

Apabila saya bersalin lagi tahun 2016, saya mengambil cuti tanpa gaji dengan kadar maksimum. Maka, secara langsung anak-anak tidak lagi ke rumahnya. Namun, anak-anak masih bertandang ke sana sesekali.

Kesihatannya semakin merudum sehingga membawa kepada pemergiannya beberapa bulan lepas. Alhamdulillah saya dan suami sempat bertemu dengannya buat kali terakhir pada malam tersebut semasa beliau tidak sedarkan diri (waktu Itu tidak menjangka akan berakhir begini).

Kami menunggu pihak ambulans tiba dan memberi rawatan segera. Ibu Maya sedar dan berada dalam keadaan yang lemah. Kami hanya mampu berdoa agar kesihatannya beransur sembuh.

Semasa hari pengebumian, Khaulah paling terkesan. Melihat kain kafan dipotong, bantu menyusunnya di tengah ruang tamu dan complete proses mengkafankan Ibu Maya. Semoga Allah mengampunkan dosa arwah dan ditempatkan di kalangan orang beriman.

Semoga anak-anaknya juga tabah dan menjadi anak soleh solehah buat ibu dan ayah. Kini selalu terkenang kebaikan arwah dan pesan dengan anak-anak doakan ibu. Besar jasa ibu dahulu. Sabar menjaga anak-anak kecil kami yang banyak ragam.

Allah ya Allah.
Kami juga bakal menyusul.

*****

Asma’ masuk tahun 1 hari ini. Hari pertama persekolahan bagi tahun 2021. Pastinya dia teruja sekali mahu ke sekolah. Bangun pagi pun mudah. Maklumlah, sudah berlatih sejak awal lagi. Sementelah sebelum ini pun memang bangun sebelum Subuh kerana mengikut abi solat di masjid.

Namun ada dramanya juga pagi tadi. Sekarang waktu Subuh masuk lewat. Lebih kurang 6.15 pagi. Jadi pulang dari masjid, abi segera bersiap mengangkat beg dan peralatan mengajar. Sedangkan Asma’ rupanya masih leka bersembang dengan kakak abang sambil bermain buaian. Aduhai!

Sempat jugalah dibebelkan oleh abi. Hee. Tiba-tiba mask extender hilang, tiba-tiba juga mask putus tali, tiba-tiba teringin nak sarapan pula. Ya Allah, bertabahlah abi yang sudah berada di atas motor! Begitulah Asma’ pagi ini. Harapnya esok lebih baik.

Di sekolah, tak tahu khabar berita sehinggalah waktu rehat. Suami menghantar sekeping dua gambarnya di dalam kelas. Alhamdulillah ceria sahaja. Oh ya, suami mengajar di sekolah yang sama. Tapi jangan salah sangka. Tetap tak boleh tinjau lebih dekat. Gambar Itu dikongsikan oleh guru kelasnya sahaja. Jadilah, kan.

Dalam hal ini, saya pasti terkenang ibu mertua. Beliau suka membacakan satu doa setiap pagi sebelum kami keluar bekerja dahulu. Malah apabila cucu-cucu bersalam mahu ke sekolah, itu juga yang dibacakan di ubun kepala :

وَأَلْقَيْتُ عَلَيْكَ مَحَبَّةً مِنِّي وَلِتُصْنَعَ عَلَىٰ عَيْنِي

dan Aku telah tanamkan dari kemurahanKu perasaan kasih sayang orang terhadapmu; dan supaya engkau dibela dan dipelihara dengan pengawasanKu.

Surah Toha (Ayat 39)

Pulang dari sekolah, tak sempat-sempat buka kasut sudah teruja mahu bercerita. Bagai menyimpan emas setinggi gunung dalam mulut untuk diluahkan. Macam bertih jagung bercakap. Boleh bayang? Yalah, yalah. Umi memang suka exagarate haha.

 

Alhamdulillah Asma’, moga ia jadi permulaan yang baik.

#bilaummiambilcuti

Leave a Reply

Open chat