Hijrah (BKH Hijrah)

 

“Kita tetap akan menjadi orang yang sama jika tidak melakukan perubahan dalam kehidupan.”

Pesanan Kak Wani di hadapan buku membuatkan saya termenung muhasabah diri. Ya, untuk berjaya perlukan perubahan. Nak jadi lebih baik juga perlukan perubahan.

Jihad hijrah juga besar maknanya.

Seramai 30 orang penulis berkongsi rasa di dalam buku ini. Perlahan saya baca senarai nama. Mata terarah pada satu nama yang baru pergi meninggalkan kita semasa awal PKP iaitu Ustazah Shadiya Abbas.

Allahu Allah. Beliau tidak sempat menatap buku ini.

Dalam buku ini, antara yang akan kita temui :

⚡ Perjalanan getir musafir mencari ilmu
⚡ Insan yang berusaha keluar dari kemurungan
⚡ Tabahnya hati menerima kehilangan anak yang tercinta
⚡ Peluang yang Allah beri kepada anak supaya berbuat baik kepada ibu ayah
⚡ Gigihnya belajar untuk mencapai kejayaan namun Allah beri lebih lewat dari orang lain

Saya membaca dengan nada sebak. Betapa sebenarnya Allah sudah menyusun cantik perjalanan hidup ini tetapi kita tak sedar. Lebih jelas kepada saya pentingnya sifat berusaha, berdoa dan bertawakal.

Saya tertarik dengan ketabahan insan-insan penulis yang diuji dengan ujian berat, kegigihan sebahagian insan-insan ini mencari ilmu, belajar bersungguh-sungguh dan berharap kejayaan itu menjadikan diri lebih baik dan memberi manfaat kepada masyarakat. SubhanAllah.

 

Kak Wani, perjalanan menggapai kejayaan memeluk segulung ijazah PhD banyak likunya. Pedihnya terasa apabila tidak dapat menyambung pelajaran dek urusan birokrasi. Namun, menjaga keberkatan rezeki kerana mendengar nasihat majikan, ia sesuatu yang luar biasa. Semoga berjaya Kak Wani.

 

Membaca Hijrah Nafsu vs Cinta. Ia luahan rasa yang saya alami juga. Penulis menyampaikan dengan rinci dan membuatkan saya menahan sebak. Untuk berjaya dalam perniagaan, amalan solat sunat dhuha adalah perkara wajib yang ditekankan oleh banyak sifu perniagaan.

Namun, seringkali peserta latihan mereka ini taksub dan terlalu bergantung kepada solat ini sebagai asbab murah rezeki. Sungguh, ini adalah fahaman yang salah. Syukurlah Allah jentik kembali hati penulis untuk mengubah sudut pandangnya.

 

Nukilan Pn Wawa juga berbekas di hati. Saya yang kini menjadi suri di rumah memahami apa yang berlaku. Namun, sifat sabar, syukur dan sokongan kuat dari suami terutamanya dapat membantu menaikkan semangat.

Semoga pembaca lain turut mendapat manfaat yang banyak dari penulisan ini. Barakallahu fiikum.

 

Aina Dayana Hilmi,

Ingin berhijrah juga.

Leave a Reply

Open chat