Hobi mengumpul setem

Masa kecil yang penuh kenangan. Dalam banyak-banyak benda, teringat pula pada dua hobi ini.

– Sahabat pena
– Mengumpul setem

IMG_20190927_172107.jpg

Saya tak ingat bagaimana boleh terjadinya rajin mencari sahabat Pena. Bab mengumpul setem rasanya bermula seawal darjah 4. Hingga kini saya terfikir, betapa bertuahnya saya apabila mak ayah tidak melarang aktiviti saya menulis surat saban minggu kepada sahabat pena.

Sahabat Pena ada berpuluh orang tetapi ada beberapa orang sahaja yang kekal berkawan hingga tamat sekolah menengah. Antara yang saya masih ingati ialah Aini dari Pahang (masih berhubungan hingga kini), Cindy Choo dari Taman Midah, Kuala Lumpur, Siti Norbaizura dari sebuah Felda di Johor dan Kak Wati dari Kuala Lumpur. Semua sudah terputus hubungan namun saya doakan mereka baik-baik sahaja dan sihat selalu.

kids-1093758_1280.jpg

Dan ya, hampir setiap hari saya menerima surat sehinggakan posmen pun sudah cam muka saya. Pakcik posmen yang baik hati itu juga pernah mengambilkan borang Persatuan Biro Filateli Malaysia untuk saya. Tahu tak persatuan ini untuk apa? Betul, untuk pengumpul setem tegar.

Waktu itu, hanya isikan borang dan saya bayar yurannya menggunakan wang kiriman pos. Sekali lagi saya bertuah kerana ayah memberi peluang untuk menjadi ahli dan membayarkan untuk saya tanpa saya sedar ia sejumlah wang yang mungkin lebih mak ayah perlukan untuk kegunaan lain. Allahu akbar.

Seronok sekali kerana setiap bulan saya menerima setem baru dan Sampul Surat Hari Pertama beserta penyata baki dalam akaun Filateli saya. Punyalah naif saya ini, Sampul Surat Hari Pertama telah tiada dalam simpanan kerana saya terbuang sewaktu mengemas bilik.

0002428_ms-historical-museums-in-malaysia.jpeg
Contoh setem. Kredit kepada EziMall

Memproses setem

Hobi mengumpul setem bermula dengan menggunting setem daripada surat-surat yang diterima oleh mak ayah dan datuk. Setem kemudian direndam dalam air bagi memisahkan setem dengan kertas. Lalu dikeringkan di bawah cahaya matahari sebelum disusun ke dalam album setem.

Pernah ada waktu tidak sabar menunggu ia kering, saya cuba koyakkan setem dari kertas. Hmmm.. memang koyak teruslah jawabnya. Haha. Rugi satu setem. Pernah juga saya seterika setem untuk cepat kering. Aduhai, perangai kan.

Pengumpul setem tegar

IMG_20190927_172133.jpg

Lama-kelamaan hobi saya diketahui oleh saudara-mara dan kawan-kawan. Semakin banyak setem yang saya terima. Sehingga satu ketika, saya sanggup mengusung album setem pulang ke kampung di Perlis. Jangan tak tahu, koleksi setem bagi saya sangat berharga waktu itu. Sanggup saya membelek dan menyusun kembali berjam-jam. Adik-adik pun tak boleh ganggu saya 😅

Album setem saya kecil sahaja saiznya. Saya beli di bandar Melaka ketika mengikut emak membeli barang di pasaraya.  Tahun 1996, selesai saya mengambil keputusan UPSR, kami pulang ke kampung pada cuti sekolah bulan November. Mak Teh Lin dan Pak Teh Yas hadiahkan saya sebuah album setem yang besar! Masih saya simpan hingga kini. Subhanallah. Sungguh saya terharu menerima pemberian itu.

IMG_20190927_172242.jpg
Inilah album tersebut

Sebabnya, sudah pasti ia mahal! Mak dan ayah saya juga nampak terkejut dengan hadiah tersebut. Saya doakan Mak Teh sekeluarga sihat dan dimurahkan rezeki. Alhamdulillah kami masih berhubungan dengan baik hingga kini. Anak-anaknya juga sudah dewasa dan berjaya dalam bidang masing-masing 💗

Saya juga pertama kali menerima satu set setem bertemakan kereta nasional kebangsaan pada tahun 1996. Ia pemberian Mak Ngah Minah saya melalui kiriman surat. Masya Allah. Terujanya saya waktu itu sehingga berkongsi kegembiraan dengan kawan-kawan. Bermula dari situ, beberapa orang rakan turut mula mengumpul setem.

IMG_20190927_172040.jpg
Set setem bertemakan kereta nasional negara pada baris keempat dan kelima album 🙂 Set LRT itu set kedua yang saya dapatkan sendiri

Hobi mengumpul setem ini berkesinambungan sehingga saya tingkatan 3. Lagi pula, ada seorang kawan yang abangnya bekerja sebagai posmen di Singapura. Suatu hari, dia membawa sebungkus setem luar negara yang sangat cantik untuk ditukar dengan kawan-kawan.

IMG_20190927_172228.jpg

Hilang minat

Namun, menginjak ke tingkatan 4, minat mengumpul setem semakin menghilang seiring dengan kesibukan menelaah pelajaran. Naik ke menengah atas, mak ayah selalu memberi nasihat (peringatan sebenarnya) bahawa tingkatan 4 bukanlah masa untuk bersenang-lenang. Mak ayah bersungguh membantu saya memahami pelajaran baru ~ Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik Tambahan.

Dalam masa yang sama, kawan-kawan sekelas pula baru timbul minat mengumpul setem. Haha… Bersungguh mereka membeli setem keluaran khas dari Pos Malaysia, mengumpul duit membeli koleksi yang dijual di pasaraya dan bertukar-tukar dengan kawan lain. Saya hanya senyum memerhati perkembangan mereka. Mujurlah saya tidak tergoda memberi koleksi saya kepada mereka 🤣

Kini 25 tahun telah berlalu sejak pertama kali saya mengumpul setem, saya membuka semula lembaran album setem sendiri. Saya pernah gunakan album ini sebagai bahan bantu mengajar di sekolah sekitar 2011 – 2013. Ada satu topik bertajuk Hobi dalam mata pelajaran Bahasa Isyarat Komunikasi (BIK). Tapi generasi baru sudah jarang mendengar hobi mengumpul setem. Zaman mereka ialah zaman gajet.

Hobi anak-anak

Baru beberapa tahun saya melatih anak sulung menulis surat kepada rakan-rakannya. Anak dibimbing cara menulis surat dan proses pengeposan. Suatu ilmu baru buat anak apabila berurusan di pejabat pos. Malu masih menebal dalam dirinya. Namun saya teruskan memberi pendedahan. Semoga bermanfaat untuk mereka di kemudian hari.

Mereka turut didedahkan dengan hobi mengumpul setem namun nampaknya minat belum muncul. Baru-baru ini saya meninjau laman sesawang Pos Malaysia dan mendapati ada banyak koleksi setem yang sangat cantik dan menarik hati. Wah, rasa macam nak mengumpul semula sahaja!

Kesemua gambar setem di bawah Saya kreditkan kepada EziMall.com

0002298_ms-malaysian-festival-series-30002304_ms-malaysian-serama0002433_ms-the-baba-nyonya-heritage-gold-stamp0002434_ms-pertabalan-kydmm-seri-paduka-baginda-yang-di-pertuan-agong-xv-sultan-muhammad0002094_greeting-setem-ku-stamp-week-2018Screenshot_2019-09-27-17-33-47-17

Manfaat hobi mengumpul setem

Bagi saya, ia membuka minda saya tentang sesuatu sejarah (misalnya pertabalan agong), pendedahan awal tentang acara rasmi negara (pelancaran Measat pada tahun 1996), berkembangnya ilmu flora dan fauna (koleksi burung dan haiwan liar Malaysia), mengenali tokoh negara (misalnya seniman agung, P. Ramlee) dan paling penting mengisi masa lapang dengan aktiviti berfaedah. Tidaklah saya lagha dengan melepak di luar rumah tidak tentu hala.

IMG_20190927_172149.jpg

Begitulah saya dan hobi mengumpul setem. Kalian pula, apa yang menjadi hobi?

Aina Dayana Hilmi,

Hobi sebagai terapi diri.

1 thought on “Hobi mengumpul setem

  1. Hi Aina,

    Apa khabar? Saya hendak tahu samada anda mahu jual setem setem anda? Atau pun dimana boleh saya jual beli setem di sekitar Kuala Lumpur. Ada klub pengumpul setem di Malaysia dimana saya boleh menjadi ahli untuk klub itu.
    Terima kasih untuk membalas text ini.

    Sekian,
    Eric

Leave a Reply

Open chat