Hujan Berhenti Kita Beri Ruang Untuk Pelangi

Masa yang berlalu tidak dapat diulang kembali. Itulah hikmah masa yang Allah berikan kepada manusia. Manusia hanya mampu mengenang apa yang telah berlalu. Namun, nikmatnya masa, kita belajar banyak perkara daripadanya.

13 nukilan menjentik rasa. Terasa empangan air mata tidak dapat dibendung tatkala membaca lembaran demi lembaran. Kisah kehidupan kita berbeza-beza. Namun dalam setiap pengalaman hidup itu, pasti ada ibrah yang dapat kita ambil.

Terkesan sekali apabila kehilangan orang tersayang dalam keadaan yang menyayat hati. Tabahnya keluarga Pn Siti Hadijah Junok dan Pn Noorzihidayah menerima berita kehilangan ini. Seorang abangnya kerana jihad mempertahankan negara, seorang lagi kakaknya dibunuh oleh seorang kenalan. Allahu Allah.

Tidak kurang ada yang menggamit memori ketika kecil apabila mengimbas kembali kisah kehidupan bersama nenek dan ibu saudara yang paling rapat. Sememangnya semakin bertambah usia, anak-anak ini turut semakin sibuk dengan dunia mereka. Belajar dan belajar. Sehingga adakala terlepas pandang untuk mengambil berat insan-insan yang dahulu menatang kasih sayang yang penuh buat mereka.

Syahdu dirasakan apabila ibu tua di kampung sebenarnya amat memerlukan perhatian dan kasih sayang kita namun dek hambatan kesibukan kerjaya menyebabkan kita acuh tidak acuh memenuhi permintaan pulang mereka yang biasanya diungkapkan secara tidak langsung. Halusnya budi bahasa ibu dan belum tercapainya hikmah akal seorang anak.

Atas segalanya, kasih sayang ibu dan ayah memang tiada bandingnya. Ada penulis yang mengungkapkan mereka menghadapi saat sukar dalam hidup seperti berpisah dengan suami, gagal peperiksaan dan dibuang daripada universiti serta tertipu dengan pelaburan haram, namun ibu ayah tetap berdiri teguh di belakang dan memberi sokongan untuk bangkit semula. Sukar, payah, pedih. Namun, Allah tidak zalim. Dibantu-Nya sehingga semuanya berjaya melepasi ujian yang diberi-Nya. Subhanallah.

Terasa kehilangan turut dikongsi rasa apabila kehilangan haiwan peliharaan yang disayangi. Ada 2 info berkaitan mengenai kucing. Sungguh banyak ilmu dikutip dari kedua-dua kisah ini. Terima kasih semua penulis kerana menggarap kisah pedoman berharga buat tatapan pembaca. Semoga terus menghasilkan karya bermutu dan memberi manfaat buat semua.

Buku ke- 41 / 2019

#MisiMembaca2019

#MalaysiaMembaca

Terima kasih kerana memberi maklum balas :)

shares