Insan istimewa
”Hari ni Cik Ani tak datang?,” tanya ustaz perlahan. “Dia sakit gigi, ustaz. Semalam dia datang rumah beritahu,” jawab makcik bertudung coklat.
Cik Ani ini insan istimewa. Selalu datang ke surau ketika kelas mengaji dewasa berlangsung. Dia duduk diam di tangga memerhatikan. Sesekali ada juga dia menegur anak-anak kecil yang datang atau menyapa jemaah yang hadir. Maklum, semuanya teman sekampungnya juga.
“Dia hanya datang ke rumah orang yang dia biasa je. Dia tak kacau orang. Asyik tanya esok ustaz datang? Esok Rabu, kan? Hari ni ustazah ada? Selasa, kan? Tapi ustaz. Kalau kita tanya dia, hari ini hari apa. Memang dia tak akan jawab.”
Semua yang ada tergelak kecil. Makcik-makcik ini dah biasa dengan dia sejak kecil lagi. Sudah tahu perangainya macam mana.
Dalam perjalanan balik, saya terfikir. Cik Ani mengecam hari berdasarkan kuliah agama di masjid dan surau! Saya pula hafal nama hari sekadar hafal sahaja. Tahu susunan Ahad hingga Sabtu. Masya Allah. Ada sesuatu saya belajar hari ini 😥
Istiqamah
Kelas mengaji kaum ibu di Serkam, Melaka ini telah lama wujud. Seingat saya ketika saya berkahwin dengan suami pada tahun 2009, ibu mertua saya yang mengajar di sini. Allah takdirkan beliau terkena angin ahmar penghujung 2010 dan suami mula ambil alih kelas ini pada tahun 2011.
Awal-awal lagi makcik di sana sudah beri ‘amaran’ : Ustaz jangan suruh kami baca nanti semua tak nak datang lagi. Lucu! Selepas sepuluh tahun, mereka pula merajuk kalau ustaz tak bagi mereka baca al-Quran. Hehe. Begitulah apabila masing-masing sudah mahir mengaji dan mendalami ilmu tajwid.
Satu lagi, mereka sentiasa berlumba membuat kebaikan. Jika ada kawan sakit, mereka ambil maklum, ziarah, tanya khabar dan mendoakan. Jika berlaku kematian, pasti berita itu tetap sampai kepada kami. Ada yang sempat kami hadiri solat jenazahnya, ada yang tidak dapat kami hadiri.
Mungkin sudah 3-4 orang meninggal dunia sepanjang 9 tahun suami mengajar di situ. Sebak mengenangkan mereka. Semuanya baik belaka. Saya pernah coretkan kisah Makcik Bertudung Merah. Saya sudah lupa namanya. Dia sangat tekun mengaji dan suka hidangkan teh susu semasa jamuan ringan selepas kelas.
Selepas beliau meninggal dunia barulah kami tahu rehal mengaji yang diguna di surau dan masjid kampung itu ditaja oleh beliau. Masya Allah. Bayangkan betapa banyak pahala mengalir sepanjang orang belajar dan mengaji menggunakannya.
Doakan saya ya.