Inspirasi
“Nanti pergi cari kakak tingkatan 5 Sains 1, pinjam bukunya. Tengok cara dia belajar,” ujar Cikgu Z. Dia yang digeruni sebagai guru disiplin masuk menggantikan guru kami yang tidak hadir. Aku kenal pelajar yang disebutkannya itu. Tapi kami berlainan waktu rehat. Susah juga nak bertembung dengannya.
Suatu hari, selepas perhimpunan cepat-cepat kusapa kakak itu. Dia agak hairan mengapa aku ingin meminjam bukunya. “Cikgu Z suruh,” pantas kujawab. Oh, dia pun mengangguk kecil dan meminjamkan buku nota sainsnya. Wah, patutlah cikgu puji dia. Tulisannya kemas, nota pun sedap dibaca dan kakak ini suka anotasi bukunya. Ia pengalaman baharu buatku yang tidak pernah menconteng buku rujukan.
Setiap helai nota ada sticky note dan ada bookmark yang dibuat sendiri diselit pada buku. Aha, membuat penanda buku tiada masalah bagiku. Gunakan sahaja apa yang ada di rumah. Cari quote yang menarik, tulis dan hias. Kakak itu suka menggunakan peta minda. Lantas semangat itu kutiru dan berjaya melengkapkan ulang kaji seluruh topik sains Tingkatan 1 hingga 3.
Aina Dayana Hilmi
24 Oktober 2022