Isteri Dominan oleh Bonda Nor dan Farizah Shamsudin

 

Sewaktu hendak menulis ulasan buku Isteri Dominan ini, baru sahaja terbaca berita seorang isteri dibunuh kejam oleh suami sendiri dengan ditembak di dada semasa sedang tidur. Ya Allah, sungguh tiada perikemanusiaan sang suami itu memperlakukan isteri dan ibu anak-anaknya. Lantas saya memandang anak-anak lelaki dan perempuan sambil memberi nasihat. Mereka juga terdiam membaca berita sedih itu. Ya Allah peliharalah kami semua dari musibah begini.

Isteri Dominan

Alhamdulillah terima kasih Pn Syuhada Ahmad atas hadiah buku ini sempena International Book Giving Day 14 Februari lalu. Sepatutnya bertukar sebuah buku sahaja, tetapi beliau memberi saya dua buah buku. Sebuah lagi bertajuk Cinta Sentiasa Menang tulisan Bonda Nor.

Sejak dahulu lagi saya suka corak penulisan Bonda Nor. Ada beberapa buah bukunya yang telah saya dapatkan seperti buku Ahmad Ammar Engkau Milik-Nya, Sahaja Aku Jatuh Cinta, Pujuklah Hati, Saya Tunggu Awak! dan beberapa antologi selenggaraan beliau. Buku lain seperti Clear, Be Strong, Stay Strong, Blur, Bila Hati Berkata dan Hero saya pinjam dari Perpustakaan Awam Negeri Melaka.

Tanggapan pertama Isteri Dominan ialah adakah buku ini membawa isu isteri queen control dalam rumahtangga?

Bila diselak helai demi helai, saya boleh katakan buku ini menunjukkan seni berkomunikasi seorang isteri dalam sesebuah rumah tangga. Namun, sebelum pergi jauh dalam hubungan suami isteri, isteri muhasabah diri dan perbaiki diri mengikut sunnah. Ianya tidak berat sebelah. Tidak. Jangan salah sangka.

Ia tetap terpakai kepada apa jua situasi rumah tangga. Umum mengetahui, perempuan ini kaya emosinya berbanding suami. Mahu pujuk suami, ada caranya. Mahu nasihat suami, ada kaedahnya.

“Jangan manjakan suami.”
Nasihat orang tua-tua dahulu. Oh, saya pun baru tahu perkara ini. Rasionalnya, sejak awal kahwin lagi kerja rumah patut diagih sesama suami isteri. Apabila bertambah anak, masing-masing sudah tahu tanggungjawab meringankan beban tugasan di rumah. Bukannya bertumpu di atas bahu isteri sahaja.

Juga, solehahnya isteri bukan sahaja pada lemah-lembutnya tetapi mencakupi aspek kehidupan yang lain. Memahami fitrah lelaki dan perempuan sangat penting. Antara punca keretakan rumah tangga ialah layanan di tempat tidur. Jangan biasakan dibawa keluar cerita peribadi ke luar rumah. Ikuti nasihat baginda sollallahu alaihi wasallam dalam melayani kehendak suami / isteri. Insya Allah lebih barakah.

Juga keharusan seseorang isteri mempunyai simpanan sendiri. Bukankah isteri baginda juga ada yang bekerja dan bersedekah dengan wang hasil titik peluhnya? Bersedekah dengan wang sendiri insya Allah dapat menempuh ujian hidup dengan baik atas rahmat Allah. Wallahualam.

Leave a Reply

Open chat