Jangan marah, bagimu syurga.
Setiap Khamis malam Jumaat (mini bertukar ke Hari Sabtu pagi), ibu-ibu berkumpul di Darul Sunnah untuk usrah dan kelas mengaji. Adakalanya kami mulakan dengan bacaan zikir petang dan bacaan hadis. Rentetan minggu sebelumnya ada ibu bertanya perihal anak-anak dan mengawal marah, minggu ini direzekikan untuk membaca hadis ini.
Buku Wahai Anak, Rasulullah Berpesan menjadi pilihan kami untuk segmen baca hadis. Nampak sahaja bukunya untuk anak-anak tetapi hadis yang dikongsikan relevan untuk semua.
لا تَغْضَبْ، وَلَكَ الْجَنَّةُ.
Jangan marah, bagimu syurga. (Hadis Riwayat Tabrani)
Marah ialah emosi yang Allah kurniakan kepada kita. Marah boleh jadi emosi yang membaca kepada kebaikan atau keburukan. Bergantung kepada sejauh mana kita mampu mengawalnya.
Dari sisi ibu, perangai anak memang ada 101 cara untuk memicu amarah kita. Perlu banyak bersabar. Berbalik kepada perkara asas, didikan anak berterusan dan kita teruslah berusaha sebaik mungkin mendidik mereka.
Bak kata Imam Ghazali, marah ini ibarar api yang menyala marak. Kesannya besar :
1. Merenggangkan hubungan.
2. Orang tua yang pemarah tidak menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak.
3. Anak-anak lebih mudah mengikut apa yang kita buat berbanding mendengar apa yang kita cakap.
Semoga perkongsian malam itu membantu pengurusan emosi ibu-ibu. Walaupun kebanyakan ibu ini sudah mempunyai anak remaja dan dewasa, namun perkongsian pengalaman mereka tetap saya raikan. Maklum, saya mempunyai anak kecil yang ramai. Jadi, sedikit sebanyak saya mengambil nasihat dan ilmu kehidupan daripada mereka.
Semoga dikurniakan kesabaran dan kuat semangat mendidik anak-anak.
* Sumber gambar : pixabay.com
Aina Dayana Hilmi,
5 Februari 2022.