Kasut

Awal tahun persekolahan, aku adik-beradik berpeluang mengikut mak dan ayah keluar membeli-belah keperluan sekolah. Seingat aku ayah suka membeli kasut sekolah kami di Kedai Kasut Bata di Jalan Melaka Raya. Seronok dapat keluar rumah waktu itu. Maklumlah, mak dan ayah bukan jenis orang yang suka bawa anak-anak shopping bersama.
Jika kasut raya, aku pun sudah lupa sama ada kami ada kasut atau selipar baharu. Sejak kecil, terbiasa memakai seluar jeans dan t-shirt meskipun kami semuanya perempuan. Mudah dan ringkas! Jika disuruh pakai skirt dan gaun, boleh menangis berguling-guling dibuatnya. Rupanya budak perempuan lain bukan main lagi koleksi pakaian mereka.
Hasil didikan mak ayah, kami memang jarang beli kasut. Sekali beli memang mahal. Tetapi tahan bertahun-tahun. Teringat adikku yang bersekolah di Jenan. Dari Tingkatan 1 hingga 5 pakai kasut yang sama. Aku juga merasa memakai kasut jenama Snow semasa menuntut di MPIK dari tahun 2004 sehingga tahun 2009.
Benarlah, alah membeli menang memakai.
Aina Dayana binti Hilmi,
5 Oktober 2022