Kelas Doodle Bersama Teacher Intan
Sudah beberapa minggu anak-anak cuti. Ditambah lagi dengan tempoh PKP, jadual di rumah tidak begitu banyak berubah. Jika hari yang ada PDPR, sibuklah mereka dengan menyelesaikan kerja rumah. Jika hari cuti, mereka banyak bermain sendiri, membaca atau menulis. Yang kecil-kecil itu, entah berapa puluh helai kertas habis dalam sehari. Agaknya habis tempoh sebulan PKP, boleh habis 1 rim kertas! Begitulah dunia anak-anak.
Suatu hari saya ternampak lukisan doodle yang cantik di wall Facebook kawan. Menarik! Lalu saya baca komen di posting beliau. Oh, ada kumpulan “Doodle Apa Hari Ni?” rupanya. Lalu saya terus mengetik butang “sertai” dan mencari maklumat sekiranya ada kelas atas talian yang dijalankan.
Alhamdulillah, ternampak iklan dari Teacher Intan yang akan mengadakan kelas pada 23 Mei 2021. RM10 untuk yuran seorang peserta. Dapatlah daftarkan untuk Khaulah, Abdullah, Umar dan Fateh. Mudahnya sekarang, duduk serata Malaysia dan dapat sertai kelas atas talian. Anak-anak ini sudah terbiasa dengan kelas begini. Duduk diam sepanjang kelas. Meskipun pasti ada “iklan” dari adik-beradik lain di rumah. Haha.
23 Mei 2021 lepas, sesi kanak-kanak pada pukul 11 pagi sehingga 12.30 tengahari diajar tentang membina character sendiri. Teacher menerangkan serba sedikit asas bentuk dan mata yang boleh dilukis. Boleh juga cetak template berkenaan dari internet dan dipadankan dengan lukisan masing-masing ketika mahu membuatnya.
Anak-anak melukis monster dan mewarna mengikut panduan yang diberi. Boleh juga gunakan pen artline 210 berwarna hitam untuk kekemasan lukisan. Dapat juga tambah info baru misalnya ada yang menggunakan warna pensel jenis Steadler KARAT Aqualiner.
Hasil mewarna
Alhamdulillah atas ilmunya Teacher Intan. Nampaknya ada kelas seterusnya minggu hadapan. Kali ini menggunakan krayon pula. Cadangan teacher boleh gunakan jenama ini kerana lebih tahan lama dan lasak. Tetapi sekiranya ada krayon hitam buncho itu pun boleh sahaja.