Kem Anakku Soleh Solehah
Saya pun sudah ‘lost count’ berapa kali kem ini dianjurkan. Kem ini merupakan program tahunan besar dilaksanakan di kampung kami (Kampung Bukit Pegoh). Yang pasti telah bermula sejak tahun 2007 sehingga 2019. Program ini biasanya melibatkan banyak pihak, daripada ibu bapa, orang masjid, belia kampung, tenaga pengajar (ustaz ustazah dan fasilitator) serta penyumbang dana.
Kem menerima pendaftaran pada hari pertama sahaja. Kemuncak program ini pernah mencapai sekitar 200 orang peserta dan suka untuk saya sebutkan di sini, program adalah percuma. Namun, kami usahakan juga saguhati untuk barisan tenaga pengajar. Alhamdulillah, Allah mudahkan.
Kem Anakku Soleh Solehah berlangsung selama 5 hari diisi dengan pelbagai modul. Penekanan kepada asas akidah, ibadah dan sunnah Rasulullah SAW. Mereka dibimbing berwuduk dengan betul, melazimi Solat sunat Dhuha dan bacaan zikir pagi, mempelajari tajwid dan mengaji al-Quran.
Hari terakhir merupakan hari puncak di mana ada aktiviti istimewa dijalankan. Biasanya ada pertandingan, sukaneka, treasure hunt atau aktiviti lain. Peserta pernah dibawa berkayak di Taman Tasik Ayer Keroh, Melaka.
Waktu itu ramai belia dan orang kampung turun membantu mengendalikan para peserta yang pelbagai usia. Masya-Allah. Komitmen semua pihak sangat bagus dan Allah izinkan semuanya berjalan dengan baik.
Sukaneka
Antara aktiviti yang pernah dibuat :
1. Menyambung penyedut minuman sehingga membentuk barisan paling panjang.
2. Memindahkan kacang Nips guna straw ke dalam pinggan.
3. Membina dan menyusun kembali piramid cawan (siapa paling pantas).
4. Membuat tekaan baju daripada medium plastik.
5. Menyelamatkan rakan dari garis permulaan sehingga ke garisan penamat.
6. Menghasilkan kraf belon panas.
7. Treasure hunt keliling kampung.
Asbab PKP, sudah hampir 2 tahun juga kami tak beraktiviti. Oh ya, ada sekali pada penghujung tahun 2020. Insya-Allah saya kongsikan nanti. Jumpa lagi.
Aina Dayana Hilmi,
6 Februari 2022.