Kenangan ketika berusia 10 tahun
“Jangan lupa ya Poh Lin, buatkan skrip lakonan,” pesan teacher sejurus selepas sesi pembelajaran tamat. Saya memandang Poh Lin dengan rasa kagum. ‘Fuh, terernya dia boleh buat skrip lakonan bahasa inggeris.’ Kelas kami akan membuat persembahan pada Hari Guru tidak lama lagi. Para pelakon sudah dipilih, pemegang watak juga sudah dimaklumkan.
Sepanjang minggu itu kami sibuk berlatih. Sesekali nampak wajah rakan yang seorang ini sugul. Akhirnya skrip pun siap dan kami dengan gembiranya menghafal bahagian masing-masing. “Jangan beritahu cikgu tau. Skrip ni ayah kita yang buatkan,” bisik Poh Lin. Patutlah dia muram sahaja, takut cikgu marah.
Sebagaimana orang lain teruja menanti hari guru, saya juga berdebar-debar kerana mempunyai satu masalah besar. Cikgu suruh pakai gaun! Saya tak pernah ada sehelai pun. Small matter, teacher kata. Ada kawan yang baik hati beri pinjam gaun kembang kepunyaannya. Malang sekali, ketika semua orang sudah bersiap di belakang dewan, saya masih duduk di dalam kelas sambil menangis.
Ya, menangis sungguh-sungguh bagai nak teriak. ‘Kenapa kena pakai gaun? Kenapa tak boleh pakai seluar atau baju kurung je? Macam mana nak pakai baju ni? Zip ni nak pasang ikut mana?’ Ya Allah, tekanan sungguh. Tiba-tiba muncul seorang rakan perempuan. Dia sudah siap bermekap. Dengan tebal muka, saya meminta bantuannya untuk memakai gaun tersebut. Lega betul apabila dia dengan senang hati membantu.
Balik ke rumah saya meluah perasaan dengan mak dan ayah. Begitulah. Saya ini nama sahaja semua adik-beradik perempuan tetapi ayah dan mak didik kami memakai seluar dan tshirt supaya senang bergerak dan ringkas berbanding pakai skirt atau gaun. Pementasan Little Red Riding Hood itu berjaya dilakonkan dan menerima penghargaan dari guru-guru meski pun sejujurnya saya memang tak pandai berlakon.