Kisah Burung Jenjang
Burung Jenjang saya kenali namanya melalui origami. Permulaan sebagai guru pelatih Pendidikan Khas hampir 20 tahun lalu membuatkan saya banyak belajar tentang origami. Mengapa? Kerana saya mencari idea baharu untuk digunakan sebagai bahan bantu mengajar bagi subjek Kemahiran Manipulatif dan Pendidikan Seni.
Origami juga ‘menyelamatkan’ saya ketika perlu ‘relief’ kelas. Untuk mengawal anak murid dari kelas aliran perdana waktu itu agak mencabar bagi saya guru baharu. Situasi ini terpakai untuk sekolah yang mempunyai dua jenis kelas ; aliran perdana dan aliran Pendidikan Khas.
Origami merupakan satu teknik lipatan menggunakan kain atau kertas. Hasil kerja tangan ini kreatif dan cantik. Origami turut mempunyai tahap kesukaran yang sendiri. Saya pula hanya memilih teknik lipatan yang mudah sesuai dengan tahap anak didik istimewa saya.
Perkataan origami berasal daripada perkataan Jepun, orikami.
Ori : lipat
Kami : kertas
Perasan tak? Origami biasanya tak gunakan gam. Saya fikir mungkinkah sebab kertas yang digunakan nipis (tidak tebal) maka jika gunakan gam, ia akan mengganggu sedikit keadaan origami nanti. Atau mungkin juga untuk memudahkan orang membuat origami pada bila-bila masa. Entahlah, itu hanya pandangan saya.
Lipatan origami bagus untuk melatih kemahiran motor halus, fokus dan melatih murid mengingat langkah demi langkah. Tahun ini, bagi sesi penggal ketiga persekolahan, saya diamanahkan untuk mengajar Pendidikan Seni Visual Tahun 6. Minggu lalu, tiba ke topik Membina Mobail.
Dalam topik ini, anak-anak dibimbing membuat mobail origami burung jenjang. Mereka perlu buat beberapa buah lipatan yang akan digantung pada sebatang ranting kayu. Awalnya saya agak was-was sebab sejak dahulu lagi saya kurang gemar buat burung jenjang. Agaknya dalam 10 kali cubaan, sekali sahaja saya berjaya buat.
Tapi alhamdulillah, hanya dengan mengikut langkah demi langkah dari buku teks, saya berjaya buat tanpa stres. Wah, tepuk bahu sendiri sebab berjaya buat! Hehe. Maka, dapatlah saya ajar anak-anak murid. Kelas tahun 6 yang saya ajar kali ini agak pandai dan mampu memahami bahasa isyarat. Seronok bila mereka berjaya buat dengan baik.
Teringat pula beberapa origami mudah yang pernah saya buat bersama anak-anak dahulu. Jemput lihat dan mencubanya sendiri :
Jumpa lagi.
*Gambar dari pixabay.com
Aina Dayana Hilmi,
5 Februari 2022