Kolej pertama

Kolej Matrikulasi Melaka (KMM) menjadi tempat pertama aku keluar dari rumah untuk menuntut ilmu. Pertama kali juga berjauhan dengan keluarga sementelah selama ini aku hanya bersekolah harian. Di kala adik-adikku mendapat tawaran ke sekolah berasrama penuh, aku masih setia di SMK Seri Mahkota, Melaka.
Aku suka suasana kolej ini. Pensyarah yang mengambil berat, kawan-kawan yang baik, makanan yang sedap di Kafe Blok A dan B serta persekitaran yang selesa. Di sini aku banyak belajar tentang kehidupan. Mengenal rakan dari seluruh negara, mencermati rakan dari pelbagai latar belakang, belajar mengawal emosi dan lain-lain.
Sewaktu membawa barang masuk ke bilik, kulihat teman sebilik sudah pun mengemas barang mereka. Silapnya aku semasa berkenalan, aku tidak begitu fokus mendengar nama mereka. “Ija, Su saya turun sekejap.” Aku ulang-alik dari ground floor ke tingkat 2 membawa barang.
“Aina, Najihah ada?” Sapa seorang rakan apabila aku membuka pintu bilik. “Najihah? Tak ada,” selamba sahaja aku jawab. “Eh, saya adalah. Marilah masuk,” Ija menyahut. Alamak, namanya Najihah? Ah, sudah. Aku silap panggil rupanya selama ini! Sudah beberapa minggu pula tu kami sebilik. Haha. Su yang dalam diam memerhati menegurku, “Aina kenapa tu?” Dengan tersipu-sipu malu, aku sengih sahaja sambil minta maaf dengan Ija.
Memang kena usiklah selepas itu. Ia menjadi peringatan buat diri sendiri supaya lebih berhati-hati selepas ini. Namun, nama itu kekal hingga sekarang. Hanya aku yang memanggilnya Ija. Orang lain memanggilnya Neji.
Di kuliah, ketika berbual dengan kawan-kawan aku lebih memilih untuk diam. Suka dengan lontaran kata mereka yang lebih banyak tahu isu semasa, perkembangan teknologi terkini dan gosip luar. Begitulah, aku hanya anak kampung yang baru keluar kepompong tetapi bersyukur dengan didikan yang diberi oleh mak ayah serta guru-guru terdahulu.
KMM 2002-2003 dihati.
Aina Dayana binti Hilmi
4 Oktober 2022