Komik Terbang Ke Mercu
Awal bulan Disember, saya rasa sudah semakin tepu. Perlu juga keluar rumah. Sudah beberapa kali ajak suami keluar tapi tak ada masa yang sesuai. Suatu hujung minggu, adik-adik ada pulang ke kampung maka saya minta jasa baik mereka untuk jagakan anak-anak. Dapatlah keluar sekejap meskipun kes Covid-19 semakin naik saban hari. Tawakkal.
Rancangnya hanya mahu beli barang keperluan, tapi melencong pula masuk kedai buku. Haha. Debar juga masuk situ. Kalau dengan suami, memang banyaklah habis. Dia jenis tak berkira membeli buku terutama buku anak-anak. Kali ini saya biar sahaja dia buat pilihan. Bila dia hulurkan buku, gulp, banyaknya komik!
“Takpelah, cuti sekolah panjang ni. Bosan pula anak-anak nanti,” terangnya tanpa sempat saya tanya. Saya anggukkan sahajalah.
Dan salah satunya ialah komik ini. Tertarik dengan kemasnya ilustrasi buku. Sinopsis juga nampak bagus. Fuh, hebatnya juruterbang ini. Seawal 21 tahun sudah mengelilingi dunia dalam pengembaraan solo. Bukan calang-calang orang. Memandu kapal terbang perlu ketelitian yang tinggi. Inikan pula mahu mengelilingi dunia. Satu penghargaan yang wajar diberikan.
Kapten James Tan, seorang anak Malaysia kelahiran Kajang, Selangor sebenarnya seorang disleksia. Sejak kecil dia kerap menghadapi masalah dalam kelas. Bukan kerana tidak memahami pelajaran tetapi kelainan yang dihadapi memerlukan dia mendapat bantuan pembelajaran dengan kaedah yang khas. Syukur ibu ayahnya menjadi tulang belakangnya.
Bermula dari diagnosis daripada doktor, dia dimasukkan ke sekolah pendidikan khas. Berjaya dalam pelajaran dan diterima masuk akademi latihan penerbangan (jika saya tidak salah). Di situ beliau bertemu dengan pensyarah yang sangat tegas dan sinis. Beliau dilatih dengan keras tetapi itulah yng mendorong beliau terus belajar dan berusaha menunjukkan kebolehan diri.
Penerbangan solo ini mendapat tajaan dan perhatian dari pihak kerajaan Malaysia. Misi membawa nama baik negara ini digalas dengan baik. Ada senarai hentian beliau yng tercatat tarikh dan destinasi dilampirkan di akhir buku. Seperti yang kita maklum, bukan mudah memandu kapal terbang. Bukan sekadar perlu bersedia dengan cuaca buruk, tetapi keadaan bentuk muka bumi (gunung-ganang, padang pasir, kawasan beku di kutub utara), penjagaan kesihatan diri serta kawasan bahaya (seperti kawasan peperangan) dan seumpamanya.
Ilustrasi buku ini sangat cantik dan emosi itu sampai kepada pembaca. Walaupun tidak terperinci peristiwa semasa beliau membesar tetapi selingan gambar-gambar penerbangan solonya dan penerangan ringkas pada setiap gambar membantu pembaca membaca sehingga titik akhir. Ada sambungannya dalam Terbang Ke Mercu II. Tahniah team Kadokawa Gempak Starz!
Buku 4/2021