Kucing
Apabila sebut tentang kucing, saya akan teringat beberapa orang insan di sekeliling yang sangat sayangkan haiwan ini. Adik bongsu saya, Atiqah pernah beberapa kali bela kucing. Sayangnya tak bertahan lama. Seekor mati dipatuk ular, seekor lagi dibuang orang dan yang lain saya tak berapa pasti.
Anak-anak Pak Teh Yas di Perlis penggemar kucing. Kucing mereka gebu dan montel. Pasti mereka tatang bagai minyak yang penuh 😉 Tapi sayang juga apabila kucing mereka dicuri. Hingga kini tak dapat kembali. Sahabat pena saya ketika sekolah menengah dahulu kini membuka hotel kucing diberi nama Cat Inn House di Shah Alam.
Jadi bila baca buku Johan and his Cat, teruja dengan pelbagai info tentang kucing yang baharu saya tahu. Selama ini saya hanya kenal kucing kampung, kucing hutan, kucing Siam dan kucing Parsi. Rupanya da banyak lagi spesis dan jenisnya. Harga pun boleh sampai berpuluh ribu untuk seekor kucing. Dahsyat! Kagum dengan kekuasaan Allah.

Bagusnya penulis ini memiliki sebuah studio kucing. Betul-betul minat dengan kucing. Lihat di Facebook page beliau pun rajin kemas kini tentang kucing yang dijaga.
Kucing sudah hidup berzaman-zaman. Kucing memiliki status sosial yang tinggi dalam peradaban kuno dahulu seperti Rom, Yunani dan Mesir.
Ada sejenis kucing yang sangat comel. Saya panggil kucing terlipat telinga. Rupanya memang itulah namanya. Scottish Fold. Baka ini dikatakan berasal dari Scotland. Asalnya dia dijumpai oleh seorang pendidik di sana lalu dipelihara. Apabila kucing itu melahirkan anak-anaknya, ada sebahagian anak yang mengikut ibunya.
Jiran penduduk tadi iaitu pasangan William Rose dan Mary tertarik dan memelihara anak-anak kucing berkenaan. Apabila ia sudah berkembang biak, mereka mengambil keputusan mendaftarkannya secara rasmi dengan pertubuhan kucing di sana (lupa pula namanya). Kucing jenis ini manja dan tenang. Sesuailah dipelihara.
Saya nak kata minat, tak juga. Nak kata tak suka, pun tidak. Jika kucing ada datang ke rumah, saya ok sahaja tapi untuk pelihara, minta maaf. Saya ada asthma yang teruk. Tak dapat nak kendalikan kucing.
Dahulu, rumah mertua sangat kerap didatangi kucing. Yang bagusnya, tak ada tikus di rumah. Tapi yang tak tahan, suka kencing merata dalam rumah 🤣 Bapa mertua pernah buatkan rumah kucing dan rajin sekali memberi makan dan membersihkan rumah kucing. Sampaikan, mahu berjalan-jalan pun tak dapat keluar lama sebab ayah akan teringat kucingnya di rumah ☺️
Ada yang minat kucing juga?
* Gambar Scottish Fold dari pixabay.com
Aina Dayana Hilmi,
7 Februari 2022