Langkah pertama

Mai tertinjau-tinjau dari dalam bilik. Gelisah menanti orang yang belum kunjung tiba. Pintu dikuak dari luar. Kak Yong, sepupunya dari utara menjengukkan kepala. “Dah sampai!”

Berdegup kencang dadanya. Malam ini, rumah mereka meriah menerima tetamu atau lebih tepatnya, rombongan meminang dari pihak lelaki.

Betulkah Mai nak kahwin? Entahlah. Mai sebenarnya tak mahu fikir lagi. Pengajian di kampus pun belum habis. Tapi Mai turutkan sahaja kehendak mak ayah. Itu pun masing-masing sudah lakukan istisyarah dan istikharah.

Hah, mak ayah pun istikharah? Nampak benar suka sangat dengan calon menantu ni! Entahlah. Masa di tahun dua dahulu pernah seorang senior datang berjumpa mak ayah. Tapi, dipendekkan cerita hubungan mereka sampai di situ sahaja.

Ayah kata dengan lelaki itu yang ayah mahu Mai habiskan pengajian terlebih dahulu. Dan senior itu pun mengalah dan alhamdulillah sampai jodohnya dengan perempuan baik-baik dari negeri Cik Siti Wan Kembang.

Mai ok sahaja. Mungkin sebab Mai menahan diri daripada terikat hati dengan mana-mana lelaki. Jadi perpisahan itu tidak memberi kesan besar kepadanya.

Pintu dibuka kasar.

“Eh Mai, tak pernah-pernah dibuat orang! Tengok tu, mereka datang bawa hantaran, kita tak ada balas apa-apa pun! Malu Mai, malu! Mana nak letak muka ni? Tak tahu adat ke? Itulah tak bercampur dengan masyarakat.” Alamak, apa pula ni? Mai dan Kak Yong terpinga-pinga. Kembang kuncup hidung Mak Andak.

“Mai boleh keluar, nak sarung cincin,” kakaknya menggamit. Mai segera mengatur langkah meninggalkan Mak Andak di bilik . Di ruang tamu penuh dengan hadiah dari pihak lelaki. Subhanallah, patutlah Mak Andak marah. Ikut muafakat sebelum ini memang sudah berjanji tiada hantaran. Mak ayah Mai tak mahu menyusahkan mana-mana pihak.

Mai mengerling mak. Mata mak bertakung air mata. Mai sempat bertemu mata dengan nenek. Nampak wajah tua itu menahan perasaan. Mai mengeluh dalam diam. Mai tahu itu bukan cerminan perasaan terharu. Sebaliknya menyimpan perasaan sebal dan kesal. Itulah, siapa suruh jemput Mak Andak tu?

Alhamdulillah, majlis berjalan lancar tanpa mereka tahu apa yang berlaku di sebaliknya. Usai majlis, Mai perlahan-lahan menuruti emak. Mai rasa bersalah bila jadi begini. “Jangan risaulah. Kita buat cara kita. Biar sedikit tapi berkat. Biar tak mewah tapi meriah. Biar tak ikut adat, asalkan patuh syariat.” Emak memberi nasihat.

 

Aina Dayana Hilmi

14 April 2022

#jurnalpenulisan

#temaApril

#adat

 

 

Leave a Reply

Open chat