Lavender Rimba

Lavender Rimba, sebuah novel terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Sudah lama saya tidak membaca novel fiksyen apatah lagi keluaran DBP sedangkan dahulunya saya membesar dengan bahan bacaan berkualiti daripada DBP.  Jika ke perpustakaan desa, pasti buku terbitan ini yang dicari dahulu. Selain cerita yang menarik dan bermanfaat, DBP menawarkan pilihan yang pelbagai dan kena dengan selera pembaca tika itu. Begitulah serba sedikit kenangan semasa kecil dengan DBP.

Buku ini saya pinjam dari Perpustakaan Awam Negeri Melaka (Perpustam). Sengaja memilih novel kerana ia lebih ‘ringan’ berbanding buku bukan fiksyen. Tidak disangka pula novel ini bertemakan kisah hidup orang asli di Cameron Highland. Seingat saya, ini bacaan pertama saya bertemakan penduduk pribumi.

Heilynda binti Bah Camron seorang anak yang dibesarkan di perkampungan orang asli di sini seringkali menimbulkan pelbagai persoalan daripada orang yang baru pertama kali bertemu dengannya. Wajahnya seperti orang kulit putih memang nyata berbeza dengan rakan-rakan yang lain. Apatah lagi dengan ibu bapanya. Namun isu itu tidak diperpanjangkan kerana surat beranaknya jelas menyatakan beliau anak kandung ibu dan ayahnya.

Melalui buku ini, dapat diketahui kesusahan anak-anak orang asli ini untuk keluar pergi ke sekolah. Kedudukan kampung mereka jauh di pedalaman menuntut mereka berjalan menempuh hutan, lereng bukit, kebun, jalan tanah merah dan berbatu. Jika cuaca hujan, bertambah lagi kesukaran mereka. Selain debu tanah, selut lumpur tidak kurang terpaksa diharungi. Masya-Allah, hebat anak-anak ini berjihad untuk pergi belajar.

Heilynda sangat suka belajar. Dia juga mahir berbahasa Inggeris. Tambah istimewa, dia berminat dengan agama Islam. Kedua ibu bapanya tidak menghalang anak  mereka ini pergi mendalami agama Islam dengan Kak Nadirah dan ustazah di sekolah. Siapa sangka, selepas pengislaman Heilynda, seluruh keluarga turut menerima hidayah.

Ada diselitkan isu pekebun kecil, penerokaan tanah besar-besaran ke atas kampung mereka, isu alam sekitar, gejala sosial di kalangan anak muda mereka, isu anutan agama, sikap dan akhlak sesama mereka serta program pihak luar yang datang berukhwah dengan penduduk di situ. Di pertengahan cerita, ada dijelaskan siapa sebenarnya Heilynda dan ini menyelesaikan beberapa konflik yang terjadi sejak awal.

Naskhah setebal 321 muka surat ini mengungkap realiti kehidupan orang asli dan meluaskan minda dan pandangan saya ke atas penduduk pribumi ini.

 

#misimembacaaina

#ainabaca2021

Leave a Reply

Open chat